Pergi Tak Kembali




Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baiklah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi


sekadar gambar hiasan
Setiap manusia yang hidup pasti melalui kematian. Kematian pasti menjemput kita samada dalam keadaan sihat walafiat, kaya raya, tua, muda, miskin, dan lain-lain. Sesungguhnya malaikat izrail yang ditugaskan untuk mencabut nyawa kita tidak akan pilih kasih atau menangguh-nangguhkan tugasnya.

Firman Allah s.w.t bermaksud :
“ Di mana sahaja kamu berada, maut pasti akan mendatangi kamu sekalipun kamu bersembunyi di atas menara-menara yang kukuh.”
(Surah An Nisa’ ayat 78)

Kehidupan kita di atas muka bumi hanyalah pinjaman sementara sahaja. Kita tidak akan kekal melainkan Allah s.w.t. Apabila kita menyedari bahawa kematian merupakan suatu yang hakikat yang pasti berlaku, maka menjadi suatu kewajipan ke atas umat islam untuk menguruskan jenazah sabagai satu penghormatan terakhir daripada orang-orang yang masih hidup terhadap si mati. Kaitan daripada itu, menjadi kewajipan jugalah mempelajari cara-cara menguruskan jenazah.

Semalam, ahad pada tarikh 15 ramadhan 1430 H bersamaan 5 september 2009 telah kembali seorang insan ke rahmatullah. Arwah bernama haji syamsul azmal bin jamaluddin, 38. Arwah merupakan sepupu kepada saya. Arwah meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak. Arwah menghidap sakit hati, jangkitan kuman seluruh tubuh serta sistem pendarahan yang tidak berfungsi lagi dan telah menghembuskan nafas terakhir di hospital selayang. Semoga arwah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman kepada Allah dan dimasukkan ke dalam syurganya..amin ya rab..

Ingin berkongsi sedikit pengalaman, buat pertama kali semalam saya sempat menimba sedikit sebanyak pengalaman di dalam pengurusan jenazah. Setibanya jenazah di rumah arwah, jenazah di bawa masuk sekitar jam 1:30 petang. Pada jam 3 petang bermulalah proses mandian jenazah. Saya sempat bersama-sama ahli keluarga arwah memandikan jenazah sehingga selesai. Setelah selesai jenazah dikafankan. Sebelum menutupi wajah arwah buat kali terakhir, ahli keluarga arwah diizinkan untuk melihat dan menkucupi wajah arwah buat kali terakhir. Masa itu semua menjadi sedih dan suasana menjadi sepi dan sayu. Setelah selesai jenazah dikafankan sepenuhnya dan dimasukkan ke dalam keranda.

Kira-kira jam 5 petang, jenazah dibawa ke masjid sri makmur yang berdekatan dekat rumah arwah. Tepat jam 5:30 petang solat jenazah dilakukan. Setelah selesai jenazah dibawa ke tanah perkuburan islam yang terletak di belakang masjid sahaja. Kemudian jenazah di masukkan ke dalam kubur dan dikebumikan seterusnya dibacakan bacaan talqin dan doa.

Demikianlah sedikit sebanyak pengalaman yang dapat saya kongsi bersama. Akhirnya, marilah kita mengambil kesempatan daripada kehidupan, kesihatan, kelapangan, usia muda, dan kesenangan yang dianugerahkan ini untuk mengumpul sebanyak mungkin bekalan kebaikan dan kebajikan untuk menuju ke alam baqa’ iaitu hari yang tidak ada manfaat lagi harta mahupun anak pinak. Hanya nilai ibadah dan amal soleh sahaja yang akan mendapat perhitungan Allah s.w.t di akhirat kelak.

Sabda Nabi s.a.w bermaksud :
“ Apabila matinya anak adam akan terputus segala amalannya melaikan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak-anak soleh yang sentiasa mendoakan untuknya.” (Hadith riwayat muslim)

Sabda Nabi s.a.w bermaksud :
“ Daripada Amru bin Maimun Al Audiy RA katanya: “Rasulullah s.a.w ada bersabda kepada seorang lelaki dan menasihatinya: “Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa senangmu sebelum datang masa susahmu, masa lapangmu sebelum datang masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum datang saat kematianmu.” (Hadith Riwayat Tirmizi)

Sekian sahaja Al-fatihah buat arwah, wallahua’lam.

0 Response to "Pergi Tak Kembali"

Catat Ulasan