Penahanan Syaikh Raed Solah


Assalamualaikum w.b.t

Syaikh Raed Solah, ketua gerakan Islam di al-Aqsa telah di tahan selama 5 bulan oleh Zionis Israel akibat kesalahannya meludah tentera Zionis pada 2007 yang lalu. Berikutan penangkapan ini, rakyat Palestin membantah dan berhimpun bagi menyatakan bantahan. Dr. Sami Abu Zuhri pemimpin HAMAS, menyatakan penangkapan itu bertujuan mematikan momentum rakyat Palestin mempertahankan al-Aqsa. Syaikh Solah dianggap ikon dalam menggerakkan massa menentang Zionis Israel.

Sementara itu, Zionis semakin rancak melakukan serangan dan tangkapan terhadap rakyat Palestin. Dengan adanya puak pelampau Yahudi, semakin memuncak keinginan untuk menakluk al-Aqsa. Antara pejuang Palestin yang konsisten mempertahankan al-Aqsa ialah Syaikh Raed Solah.

Syaikh Solah seorang tokoh yang memang konsisten dalam memperjuangkan Palestin. Pengamat politik menyatakan beliau memberi kesan langsung terhadap politik di Palestin. Pelbagai cubaan telah dikenakan kepada beliau antara lain cubaan bunuh, rumahnya dihancurkan dan lain-lain. Meskipun dengan pelbagai kezaliman dan jenayah yang dilakukan oleh Zionis, syaikh Solah terus memperjuangkan nasib al-Quds.

Di samping itu, Syaikh Solah turut menyemarakkan intifadah. Beliau antara orang penting dalam menggerakkan intifadah. Beliau turut menyeru agar fraksi-fraksi Palestin bersatu.

Oleh itu, marilah sama-sama kita seluruh umat islam terus berdoa buat saudara seislam kita di palestin sana. Mudah-mudahan Allah s.w.t mencampakkan dan memberikan kemenangan buat mereka di sana. Amin Ya Rabbal A'lamin.

(sumber:link)

Waallahua'lam.

Kehalusan Titi Siratul Mustaqim Bagai Rambut Di Belah Tujuh


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t

Ketika dikumpulkan di padang Mahsyar nanti, sekalian manusia dan jin akan menjadi benar-benar gementar kerana amalan masing-masing akan ditimbang. Di sini tibalah saatnya manusia akan dihisab bagi menentukan nasib masing-masing iaitu sama ada akan dihumbankan ke neraka yang tidak terkira siksanya atau diganjarkan dengan syurga yang nikmat nan indah.

Firman Allah s.w.t bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Hasyr:18).

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : "Amalan pertama seseorang hamba yang akan dihisab pada hari kiamat adalah solat. Jika baik solatnya maka baik pula seluruh amalannya, namun jika rosak solatnya maka rosak pula seluruh amalannya." (HR. Thbrani).

Di sana kelak Allah akan bertindak selaku hakim yang bakal mengadili penghisaban setiap seorang dari kalangan manusia dan jin. Bagaimanapun peluang untuk tampil ke muka pengadilan dan penghisaban di hari akhirat itu nanti tidak semestinya dilalui oleh semua insan.

Orang-orang yang tidak beriman terutamanya orang-orang kafir, tidak langsung akan berpeluang untuk menatap wajah Allah di akhirat nanti dan tidak akan berpeluang juga untuk dihadapkan bagi dihisab amalan mereka.

Sesungguhnya setiap seorang dari mereka akan ditangkap oleh para malaikat dan dengan garang dan kasar, mereka akan terus dicampakkan atau ditarik masuk ke rahang neraka yang menjulang panas apinya.

Manakala manusia-manusia mukmin dan orang-orang pilihan Allah akan dibawa ke muka pengadilan secara lembut untuk dihisab di hari itu nanti.

Sebelum dipanggil umat lain di depan, Allah akan memerintahkan para Malaikat-Nya mengumpulkan umat junjungan Nabi Muhammad s.a.w. untuk diadili lebih dahulu seorang demi seorang.

Lalu dibuka kitab amalan masing-masing di depan mereka. Tubuh masing-masing akan basah berpeluh, hati akan terkejut melihat lembaran amalan yang telah mereka lakukan sepanjang kehidupan di dunia dulu.

Mereka akan ditanya satu persatu akan amalan mereka, dan pada ketika itu, mulut mereka akan terkunci, tidak dapat menjawab atau menafikan apa-apa dakwaan yang dihadapnya ke atas mereka.

Firman Allah s.w.t. bermaksud : "Pada hari ini kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan". (Surah Yasin:65).

Yang menjadi pembela mereka pada hari itu ialah amalan-amalan suci dan soleh yang terdiri daripada sembahyang, sedekah, jihad, korban dan lain-lain amalan yang telah dilakukan ketika hidup dahulu.

Sementara pancaindera mereka yang terdiri daripada lidah, telinga, mata, hidung, tangan dan kaki akan menjadi saksi yang bakal membenarkan atau menafikan dakwaan-dakwaan tadi.

Sekiranya seseorang insan itu didakwa telah meragut nyawa seorang manusia secara aniaya dan tanpa sebab yang hak ketika di dunia dulu, maka wajib tangannya akan berkata, "bahawa akulah yang telah membunuh nyawa itu."

Sementara matanya pula berkata, "Bahawa aku melihat bagaimana tangan manusia ini telah meragut nyawa berkenaan."

Dan begitulah seterusnya. Bagaimanakah manusia akan boleh lari dari kenyataan bila gambaran yang amat jelas dan terang dihadapkan di depan mereka ketika berada di mahkamah hari akhirat nanti?

Sesungguhnya memang tidak ada siapapun yang mampu berbuat demikian kerana perhitungan Allah tentang penghisaban yang ditetapkannya di hari akhirat nanti bakal berjalan licindan tidak berselindung lagi. Perhisaban manusia di mahkamah Ilahi di hari akhirat akan disaksikan oleh seluruh manusia dan jin serta juga para malaikat dan nabi-nabi. Setelah selesai dibentangkan tentang segala kesalahan dan kerja-kerja jahat mereka serta juga tentang amal-amal baik ketika di dunia dulu, maka manusia dihantar kepada neraca "mizan" untuk ditimbangkan beratnya atau ringannya amalan baik dan jahat tadi.

Sekiranya didapati berat dosa mereka maka sekaligus dia akan berhadapan dengan api neraka yang marak menjulang yang sentiasa menanti penghuni-penghuninya.

Firman Allah s.w.t bermaksud : "Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihatnya, Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah nescaya dia akan melihatnya (balasannya)." (Surah Az-zalzalah:7-8)

Proses pengadilan di mahkamah hari akhirat juga mempunyai peringkat masa tertentu dan ini bergantung kepada tinggi atau rendahnya amalan seseorang. Ada juga yang merasakan pengadilan itu berjalan terlalu lama, memakan tempoh berpuluh-puluh tahun, ada pula yang merasakan seperti setahun atau sebulan atau cuma beberapa minggu sahaja.

Ada pula golongan yang merasakan bahawa perjalanan pengadilan di hari akhirat sebagai terlalu singkat iaitu cuma sehari atau sekejab sahaja. Bagaimanapun setelah pertimbangan dilakukan di mahkamah pada Mahsyar, manusia-manusia tadi dihantarkan pula menyeberangi satu jambatan yang melintasi kawah api neraka untuk sampai ke syurga.

Gementarlah sekali lagi sekalian tubuh bila berhadapan dengan jambatan yang penuh dengan siksaan dan maut ini kerana di jambatan inilah ditentukan sampai tidaknya perjalanan seseorang insan itu ke syurga atau terjunam pula masuk ke dalam neraka.

Orang-orang yang beramal soleh serta telah mendapat pengampunan dari Allah, terutamanya pada Rasul, Nabi-nabi, para wali, pada syuhada, ahli-ahli jihad serta mereka yang tinggi amalan baiknya akan merasakan jambatan yang memisahkan antara padang Mahsyar dengan syurga sebagai terlalu dekat.

Ada yang merasakan jambatan itu seperti hanya satu langkah kecil, ada yang merasakan pula seperti satu lompatan, dan ada pula yang melihat jambatan itu terlalu panjang dan sukar untuk dilintasi kerana bawahnya api neraka sedang marak menjulang dengan bunyinya yang menggegarkan dan menggerunkan.

Mereka yang terlalu tinggi amalannya serta yang mendapat rahmat dan kasihan dari Allah akan melalui jambatan penentuan itu terlalu cepat seperti sesaat atau sepantas kilat yang menyambar. Malah ada yang melintasi jambatan itu bagaikan hembusan angin kencang dan ada pula yang melintasi jambatan melalui kawah neraka itu bagaikan burung yang terbang laju, ada yang melintasinya seperti seeokor kambing yang berlari perlahan-lahan malah ada yang melintasi jambatan itu sehari semalam.

Sebahagian manusia lagi melintasi jambatan itu selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan dan ada yang mengambil masa bertahun-tahun.

Jambatan penentuan memisahkan Padang Mahsyar dengan syurga memang terlalu ngeri teruatamanya bagi meraka yang ringan amal baiknya. Ini kerana ada diantara mereka yang melihatnya seperti terlalu sukar untuk dilalui kerana licin dan berduri dan ada pula yang melihatnya sebagai terlalu tajam dan halus seperti rambut yang dibelah tujuh.

Demikianlah serba sedikit pandangan@gambaran tentang mahkamah padang Mahsyar dan titian yang menentukan cerah gelapnya nasib seseorang manusia di hari akhirat nanti sebagaimana yang diterangkan oleh Allah s.w.t di dalam kitab Al-Quran...

renung2kanlah...

Wallahua'lam.

RUGINYA ORANG YANG MINUM ARAK

Assalamualaikum w.b.t

Imam Abul Laits As-Samarqandi atau nama penuhnya Nashr Bin Muhammad Bin Ahmad Bin Ibrahim Al-Faqih Rahimahullah (wafat 373H). Seorang ahli fiqh yang masyur mengatakan, "Jauhilah minum arak, kerana di dalamnya mempunyai sepuluh perkara yang tercela."

1. Apabila sesorang itu minum arak, maka kedudukannya seperti orang gila, dan akhirnya dia menjadi bahan ketawa kanak-kanak. Dan tercela ia bagi orang-orang yang berakal.

2. Arak itu boleh menyebabkan hilangnya akal dan menyebabkan musnahnya wang ringgit.

3. Minum arak boleh menyebabkan timbulnya permusuhan antara sahabat.

4. Minum arak akan menghalangi seseorang itu ingat atau berzikir kepada Allah s.w.t dan akan menghalangi dia dari mengerjakan solat.

5. Minum arak akan mendorong melakukan perbuatan zina. Ini kerana seseorang yang minum arak mungkin dengan mudah menceraikan isterinya tanpa dia sedari.

6. Minum arak adalah anak kunci segala perbuatan jahat, kerana orang yang minum arak mudah sekali melakukan perbuatan yang terkutuk.

7. Minum arak boleh menyebabkan menyakiti keluarganya dan teman-temannya kerana mengiringi ke tempat fasiq.

8. Orang yang minum arak wajib dihad, dihukum dengan 80 sebatan, kalau ia tidak dipukul di dunia dia akan dipukul di akhirat dengan cemeti api neraka di hadapan orang ramai dan disaksikan oleh bapa dan teman-temannya.

9. Minum arak itu akan menyebabkan pintu langit ditutup baginya, kerana semua amal baiknya dan doa-doanya tidak diterima selama 40 hari.

10. Minum arak itu membahayakan kerana dikhuatiri dicabut imannya.

Kesemua akibat ini adalah di dunia sebelum dia mati, setelah itu dia akan menghadapi pula siksa akhirat nanti.

Dari Abi Umamah dari Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Tiga jenis orang yang tidak akan masuk syurga"
1. Peminum arak.
2. Orang yang memutuskan tali silaturrahim.
3. Orang yang mempercayai ahli sihir.

Barang siapa yang meninggal dunia sebagai peminum arak, maka dia akan diberi minum oleh Allah s.w.t dari air sungai Ghutha, iaitu sebuah sungai yang mengalir dari faraj kemaluan wanita pelacur. Sungai itu yang menyebabkan bertambah deritanya penghuni neraka kerana baunya yang cukup busuk." Nau'zubillahiminzalik...

Kesimpulan : Buat golongan peminum arak, bertaubatlah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taubat "Taubat Nasuha". Mudah-mudahan Allah s.w.t menerima taubat seseorang itu.

Wallahua'lam...

KELEBIHAN BULAN SYAABAN

Assalamualaikum w.b.t

Diriwayatkan dari Abi Umamah Al-Bahili dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Apabila datang bulan Syaaban, maka bersihkanlah dirimu dan perbaikilah niatmu di dalamnya,".

Usamah r.a berkata, "Ya Rasulullah S.A.W. Aku tidak pernah melihatmu berpuasa satu bulan dari bulan-bulan ini seperti puasa dalam bulan Syaaban."

Sabda Rasulullah s.a.w., "Wahai Usamah, itu adalah suatu bulan yang kebiasaannya manusia lengah darinya, iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Syaaban adalah satu bulan yang di dalamnya diangkat ama-amal ini kepada Tuhan seru sekalian alam, maka sebab itu aku suka kalau amalku diangkat sedang aku dalam keadaan berpuasa."

Dikatakan bahawa sesungguhnya malaikat-malaikat di langit memiliki dua malam hari raya, sebagaimana orang-orang Islam di bumi memiliki dua hari raya. Hari raya bagi para malaikat ialah pada malam Bara'ah iaitu malam Nisfu Syaaban dan malam Lailatul Qadar, dan raya bagi orang-orang Islam di bumi ialah pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha.

As-Subki dalam tafsirnya menyatakan, "Sesungguhnya malam Nisfu Syaaban itu menutup dosa-dosa setahun, malam Jumaat menutup dosa seminggu dan malam Lailatul Qadar menutup dosa seumur hidup."

Wallahua'lam...

ORANG SOLEH DENGAN PENCURI

Assalamualaikum w.b.t

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim menceritakan, pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang terkenal dengan kerja-kerja sehariannya hanyalah mencuri. Hampir setiap malam dia mencuri harta benda kepunyaan jiran tetangganya. Jirannya sentiasa menasihati beliau agar meninggalkan pekerjaan yang keji itu.

Pada satu malam, ketika dia hendak pergi mencuri tiba-tiba dia bertemu dengan seorang miskin yang sentiasa duduk di dalam masjid. Dia tidak mengetahui bahawa orang yang bercakap dengan dia itu adalah orang miskin yang sangat soleh dan zuhud terhadap dunia. Maka tanpa segan silu pencuri itu mengajak lelaki miskin itu pergi mencuri bersama-sama dengannya.

" Hai orang miskin," kata pencuri itu.

" Mengapa engkau selalu duduk di dalam masjid sambil menanti belas kasihan orang lain. Marilah ikut aku nescaya engkau memperoleh pekerjaan yang menguntungkan. Kalau engkau bersetuju marilah kita pergi mencuri bersama-sama." ajak pencuri itu.

"Baiklah," jawab orang miskin itu ringkas.

"kalau begitu marilah kita pergi sekarang kerana hari sudah gelap," ajak pencuri itu.

"Lebih baik kita atur rancangan dulu," kata pencuri itu lagi.

"Saya masuk ke dalam kedai manakala engkau tunggu sahaja di luar. Kalau engkau nampak orang datang segeralah beritahu aku, ingat, jangan sampai kita tertangkap."

Setelah mereka merancang dengan teliti maka pencuri itu pun memulakan tugasnya mengikut apa yang telah dirancangkan. Pencuri itu masuk ke kedai manakala yang orang miskin yang soleh itu menanti di luar.

Setelah agak lama pencuri itu berada di dalam, tiba-tiba orang miskin yang soleh itu berteriak, "Hai kawan, cepat keluar, ada orang datang ke mari,"

Mendengar teriakan orang miskin itu, pencuri itu kelam kabut lari keluar untuk menyelamatkan diri bersama dengan kawannya itu. Setelah keadaan agak tenteram, dia pun berkata kepada kawannya itu.

"Tadi engkau kata ada orang datang, tapi mana orang itu?"

Maka, orang miskin itu menjawab dengan lemah lembut, "Benar kata engkau hai kawan, tidakkah engkau sedar bahawa ada Zat Yang Maha Melihat yang sentiasa melihat kita,"

"Walaupun kita tidak melihat-Nya, tetapi Dia sentiasa melihat kita. Dia itu Allah Yang Maha Pemurah yang telah menyediakan rezeki untuk semua hamba-Nya."

Orang miskin itu terus berkata, "Hai kawan, engkau telah mengajak aku mencari kekayaan dengan cara mencuri. Sekarang bolehkah engkau buktikan kepada aku, manakah pencuri yang telah menjadi kaya di dunia ini?"

Pencuri itu termenung mendengar kata-kata orang miskin itu lantas dia pun menyatakan keinsafannya serta berjanji tidak akan mengulangi pekerjaan yang terkutuk itu lagi.

Wallahua'lam...

MUSLIM BERIMAN

Assalamualaikum w.b.t

AJARAN Islam menganjurkan hidup berkasih sayang dalam iman dan taqwa. Kita perlu menyedari bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara. Oleh itu, perlu mempersiapkan bekalan untuk perjalanan hidup yang lebih panjang dan abadi, iaitu kehidupan akhirat. Kita hendaklah selalu berbuat baik, memainkan peranan sebagai hamba Allah dengan mempraktikkan nilai-nilai rohaniah dan lahiriah. Orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah tidak mengharapkan balasan ataupun upah melainkan daripada Allah Taa'la sahaja.

Allah berfirman yang bermaksud :
"Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan. Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan kami tambahkan bagi kebaikan pada kebaikan itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mensyukuri.
(Surah Asy-Syuura:23).

Ayat di atas satu penegasan bahawa orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, akan sentiasa berusaha mencipta suasana sihat dalam kehidupan masyarakatnya berdasarkan kasih sayang dalam persaudaraan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa apabila seluruh jiwa masyarakat telah dihiasi oleh persaudaraan yang penuh kasih sayang, akan wujudlah keadaan masyarakat yang aman, damai, bahagia zahir dan batin. Semuanya dapat dicapai apabila iman dipelihara selain meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Taa'la.

Umpanya, apabila kita merasai penderitaan orang lain, hal ini akan mendorong kita untuk turut serta menghilangkan penderitaannya, bak kata pepatah melayu:cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Dalam keadaan demikian, hati kita tidak berasa tenang sebelum penderitaannya hilang. Tetapi hati kita akan berasa tenang dan tenteram setelah kita berhasil menghilangkan penderitaannya dan melihat dia kembali dalam keadaan sihat sejahtera.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Sesorang muslim itu menjadi saudara muslim lainnya. Kerana itu, tidak diperbolehkan seseorang Muslim menganiayai saudaranya, juga tidak boleh seorang Muslim itu menghina saudara Muslimnya. Dan sesiapa memberikan pertolongan (memenuhi hajat keperluan saudaranya), maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya. Dan sesiapa yang memberikan kemudahan, memberikan kelapangan bagi kesusahan seseorang Muslim, nescaya Allah melapang kesusahannya di akhirat. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini dinyatakan bahawa orang Islam dipandang sebagai saudara dan persaudaraan itu menghendaki setiap orang Islam tidak boleh bersikap membiarkan saudaranya dalam kebinasaan. Contoh lainnya, apabila seseorang menderita kelaparan wajiblah kita menolongnya melepaskan dirinya daripada penderitaan itu. Antara tanda hubungan ukhuwah Islamiah ialah perasaan senang memberi manfaat kepada saudara kita dan berasa senang serta gembira melihat mereka mendapat nikmat dan kebaikan, bagai kita sendiri yang memperolehnya. Apabila perasaan ini telah tertanam dalam hati kita dengan suburnya, bererti kita telah berhasil mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah yang besar pahalanya.

Wallahua'lam...

Sifat Ikhlas Hiasan Peribadi Muslim Bertaqwa

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh...
Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana masih mengurniakan kita semua nikmat usia, iman dan islam. Rahmat dan hidayahnya yang melimpah ruah buat hamba-hambanya yang beriman dan bertaqwa kepada-Nya. Selawat dan Salam buat kekasih Allah Taa'la Nabi Muhammad s.a.w, pada sahabat, para tabi'in serta mereka yang sentiasa berada di jalan yang lurus.

IKHLAS adalah antara sifat terpuji yang menghiasi peribadi Muslim yang bertakwa kepada Allah Taa'la dan keikhlasan jugalah yang menjadi asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan yang dilaksanakan oleh setiap Muslim diterima Allah Taa'la ataupun sebaliknya. Pendek kata, keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan atau kebahagiaan Muslim di dunia dan akhirat.

Jika ditinjau rangkaian ayat suci al-Quran, kita dapati betapa ciri keikhlasan adalah ciri utama bagi perhiasan peribadi Muslim yang bertakwa. Antaranya ialah :

Firman Allah Taa'la bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya".
(Surah al-Zumar: ayat 2)

Rasulullah s.a.w tidak ketinggalan untuk memperlihatkan kepada kita akan kepentingan sifat ikhlas dibajai dalam sanubari Muslim dengan sabdanya yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya segala amalan itu tergantung atas niat. Sesungguhnya bagi seseorang itu di atas apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, dan juga sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu terpulang kepada niatnya dari penghijrahannya itu." (Hadis riwayat Bukhari)

Berdasarkan nas-nas suci di atas, dapat disimpulkan betapa keikhlasan memainkan peranan yang penting dalam menentukan penerimaan satu amalan di sisi Allah Taa'la. Yang lebih penting lagi ialah keikhlasan menjadi bukti kepada kesempurnaan dan ketulusan iman Muslim kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang mencintai kerana Allah, yang membenci kerana Allah, yang memberi kerana Allah dan yang menahan diri pun kerana Allah, maka dia sesungguhnya telah mencapai kesempurnaan imannya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Dari sini jelas bahawa sifat ikhlas ini amat penting disemai dan dibajai di setiap hati Muslim dalam semua lapangan hidup agar dia dapat menempatkan dirinya di kalangan hamba Allah yang bertakwa. Perlu disedari bahawa sifat ikhlas ini tidak hanya perlu diserlahkan ketika pelaksanaan amalan ibadat seperti solat, puasa, sedekah, haji dan sebagainya, malahan niat yang ikhlas akan meningkatkan mutu amalan yang dianggap keduniaan semata-mata dan menjadikannya sebagai satu ibadat yang diberi ganjaran pahala kerananya.

Sebaliknya, niat yang tidak baik seperti riak atau 'ujub (mengharap pujian ramai) akan menjatuhkan nilai satu-satu amalan walaupun ia berupa amalan ibadat sekalipun dan ia akan mengubahkan menjadi amal maksiat yang pastinya disediakan balasan seksa yang pedih di akhirat kelak.

Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w ada memberi peringatan kepada umat Islam agar menjauhi perkara yang boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kita kepada Allah Taa'la seperti sifat riak, 'ujub, sombong dan lain-lain sifat yang tercela. Pernah satu ketika Rasulullah s.a.w menganggap riak itu sebahagian daripada syirik yang tersembunyi kepada Allah Taa'la.

Demikianlah gambaran indah yang dilukiskan oleh Rasulullah s.a.w tentang hamba Allah yang mengikhlaskan dirinya kepada Allah. Mereka sama sekali tidak mengharapkan apa-apa habuan dan kemewahan dunia, sebaliknya apa yang mereka harapkan hanyalah limpahan keredhaan Ilahi dan syurga Allah saja.

Itulah cita-cita dan impian mereka dalam setiap detik kehidupan mereka yang sarat dengan pengabdian yang penuh tulus lagi kudus semata-mata kerana Allah sebagaimana terungkap dalam firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya).” (Surah al-An'am, ayat 162 - 163).

Dari satu segi lain, gambaran orang yang tidak ikhlas dalam amalan mereka serta mengharapkan pujian manusia dan kemewahan dunia amatlah menggerunkan hati orang yang beriman. Apa tidaknya, kerana Rasulullah sebagai seorang rasul yang amat sayangkan umatnya awal-awal lagi sudah memperingatkan kita akan balasan buruk yang akan menimpa kepada orang yang tidak ikhlas hatinya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan apa yang dikerjakan kerana Allah dan apa-apa yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkannya ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Di samping itu, Islam adalah addin yang amat unik kerana setiap gerak geri dan perlakuan harian yang dilakukan oleh Muslim dianggap sebagai ibadah. Oleh itu, setiap amalan sama ada yang berbentuk duniawi mahu pun ukhrawi ada ganjaran pahalanya sekiranya diniatkan penuh ikhlas kerana Allah.

Hal ini ditegaskan sendiri oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya yang bermaksud: “Tiada sesuatu yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala sehinggakan apa yang engkau suapkan ke dalam mulut isteri engkau.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam satu hadis lain, Rasulullah juga bersabda maksudnya: “Apa yang engkau beri makan kepada diri engkau sendiri ada padanya pahala sedekah, dan apa yang engkau beri makan kepada anak isteri engkau ada padanya pahala sedekah, dan juga apa yang engkau beri makan kepada khadam di rumah ada padanya pahala sedekah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Ringkasnya, selama mana seseorang Muslim itu menyerahkan dirinya kepada Allah dengan penuh keikhlasan yang tulus, selama itulah segala gerak geri dan diamnya, tidur dan jaganya akan dinilai sebagai langkah menuju kepada keredaan Allah. Kalaulah begini kedudukan seorang yang ikhlas kepada Allah dengan pelbagai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah, kita sebagai umat Islam sewajibnya menghiaskan diri dengan sifat mulia itu dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia.

Dengan penjanaan sifat ikhlas ini barulah hati kita bersih dan suci dari sebarang kekotoran dan penyakit yang boleh menghancurkan ummah. Harta dan kemewahan dunia serta pesonanya tidak mempunyai apa-apa erti, sebaliknya harta paling bernilai ialah hati yang ikhlas.

Ini tepat sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati dan niat kamu.” (Hadis Sahih Riwayat Ahmad, Muslim, Ibnu Majah)

Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran dan tauladan daripada secebis ilmu ini. Mudah-mudahan Allah s.w.t mencampakkan sifat ikhlas ke dalam setiap hamba-hambanya sepertimana ikhlasnya para anbiya', para sahabat serta mereka yang mendapat rahmat hidayah dari-NYA. Amin Ya Rabbal A'lamin...Wassalam.