Hati Manusia


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Rasulullah S.A.W dan ahli keluarga baginda.


Sabda Nabi Muhammad s.a.w :

أَلاَ وَ إِنَّ فِي الْجَسَدِ مٌضْغَةُ إِذَا صَلٌحَتْ صَلٌحَ الْجَسَدٌ كُلٌّهٌ وَ إِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدٌ كٌلٌّهٌ أَلاَ وَهِيَ القَلْبُ

Maksudnya : Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat seketul daging, apabila elok daging tersebut, maka eloklah jasad tersebut keseluruhannya, apabila ia rosak, maka rosaklah jasad keseluruhannya, ketahuilah bahawa ia adalah Hati. (Shahih Muslim :1599)

Allah s.w.t telah menciptakan di dalam setiap tubuh manusia itu seketul daging. Ia menjadi alat yang mengawal diri manusia, samaada melakukan kebaikan, mahupun keburukan. Anggota manusia yang terzahir adalah hasil itu sendiri.


Ulamak-ulamak terdahulu amat mementingkan dan menitikberatkan soal penjagaan hati. Ini kerana hati yang bersih akan menyebabkan segala amal ibadah kita diterima Allah s.w.t. dan sebaliknya. Sesungguhnya ramai hari ini tidak menyedari bahawa makhluk yang bernama hati inilah yang menghala tubuh manusia samada ke syurga ataupun neraka. Ia juga mengawal manusia samaada ikhlas atau riak samata-mata. Bayangkanlah sekiranya hati itu adalah sebiji racun yang mendiami tubuh seseorang sudah pasti dia mati kerana ia tersimpan di dalam tubuhnya.

Sidang Pembaca sekalian,

Ingin berkongsi tentang hati beberapa perkara iaitu :

1)Hati Kita Diketahui Oleh Allah s.w.t

Firman Allah s.w.t maksudnya :

Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati. ( Surah Al-Ghafir :19)

Firman Allah s.w.t maksudnya :

Dan tidakkah mereka ketahui bawah Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka pamerkan?
( Surah Al-Baqarah : 77)

Melalui ayat ini jelaslah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui setiap perbuatan kita samaada baik mahupun buruk yang tersimpan di dalam hati.

2) Hati adalah tempat yang dipandang oleh Allah s.w.t

Nabi Muhammad s.a.w bersabda :

إن الله لا ينظر إلى صوركم و أعمالكم و إنما ينظر إلى قلوبكم و نياتكم
Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa dan perbuatan kamu, akan tetapi Allah s.w.t memandang kepada hati dan niat kamu. (Hadis soheh : Riwayat Ahmad, Muslim & Ibnu Majah).

Maka hati adalah tempat yang dipandang oleh Allah s.w.t. Hari ini ramai sangat manusia yang tertipu dengan tipu daya syaitan. Mereka sanggup berhias-hias, bersolek dengan pelbagai fesyen dengan mengeluarkan duit yang cukup banyak untuk mempamerkan kecantikan diri mereka walhal perkara itu amatlah rugi bagi mereka yang sedemikian. Kecantikan itu hanyalah sebentar sahaja kerana ia adalah pinjaman dari Allah s.w.t. dan ianya juga akan dikembalikan pada-Nya.

3) Hati mempunyai 5 keadaan

Imam Al-Ghazali menyebut di dalam kitabnya Minhajul Abidin Ila Jannati Rabbil Alamin bawah keadaan-keadaan yang biasa terjadi di dalam hati ialah :

3.1 Permusuhan - Permusuhan kerap terjadi apabila ianya dijangkit kuman dengki. kesannya keadaan hati akan berubah dan menjadi benci serta terbakar antara 2 pihak di dalam permusuhan. Hati tidak akan rasa tenang bagaikan "ombak yang sedang bergelora di lautan".

3.2
Bercelaru - Di dalamnya terdapat 2 makhluk, iaitu akal dan nafsu. Kedua-duanya sering bergaduh. Apabila akal kalah dengan nafsu, maka ia akan menyebabkan seseorang bertindak luar akalnya. Pergaduhan inilah yang menyebabkan hati itu bercelaru. Janganlah anda lalai daripadanya supaya akal anda tidak dikalahkan oleh nafsu.

3.3 Terdedah - Hati yang tidak dikunci@pagar dengan baik, maka ia akan mudah dimasuki oleh panahan syaitan. Bagaikan rumah yang tidak berkunci akan dimasuki pencuri. Hati perlulah dikunci dengan makanan rohani iaitu zikrullah, membaca al-quran, mendengar ceramah dan lain-lain.

3.4 Susah diubati - Hati hendaklah sentiasa diubati. Apabila seseorang itu terlupa untuk mengubatinya maka ia akan mati. " Apabila jiwa itu merasa besar iaitu menyombong, jasad itu akan menjadi penat untuk mencapai kehendaknya ".

3.5
Mudah berubah - Sesungguhnya hati manusia mudah sangat untuk berubah. Bila bisikan syaitan menggoda setiap anak adam ke arah kejahatan. Ketika itu juga, perasaan ragu-ragu akan datang. Berdoalah moga Allah perkuatkan dan memperkukuhkan hati kita supaya hati kita tidak mudah berubah.

Firman Allah s.w.t maksudnya :

" Mereka takutkan hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan ".
(Surah An-Nur : 37)

Kesimpulannya, hati mestilah dikenali terlebih dahulu. Manusia sering bergaduh dengan seseorang kerana tidak mengenali hatinya. Tinggallah apa yang meragukan kamu, kerana itulah perangai hati. Ingtlah keraguan itu datangnya daripada bisikan syaitan yang cuba merosakkan hati kamu.

Nasihat penulis buat sidang pembaca sekalian :

1. Elakkan daripada tidur yang terlalu banyak kerana ianya akan menggelapkan hati.
2. Elakkan daripada gelak ketawa yang terlampau kerana ianya akan menggelapkan
hati.

wallahua'lam...













Jaulah Pimpinan KPIPM di Mansurah

SELASA - 26 MAC 2010 : Jaulah muhasabah pimpinan Ahli Jawatankuasa Tadbir AJKT & Ahli Jawatankuasa HEWI AJKH KPIPM Perak di Mansurah berjalan dengan lancar. Majlis tersebut bermula selepas solat zuhur pada jam 1 p.m.

Pimpinan KPIPM membuka seluas-luasnya cadangan dan muhasabah daripada ahli anak-anak perak (KPIPM). Pelbagai lontaran, cadangan dan muhasabah diberikan. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penasihat KPIPM Saudara Muhammad Mujahid Bin Muhammad Fadzil. Majlis berlangsung sehingga masuknya solat fardhu asar dan semua yang turut hadir dihidangkan makanan. Majlis berakhir pada jam 4 p.m.


Ucapan wakil Pengerusi DPMM oleh Us Mohd Asri B. Zolkafli
(Timbalan Pengerusi DPMM)

wajah anak-anak perak di bumi perantauan mesir bersama barisan pimpinan..

P : Tahniah Us zahid Abu Bakar yang akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi..

Sekian..wassalam.


NIKMAT KESIHATAN

Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakkan orang ialah kesihatan dan masa lapang.
(hadis riwayat Imam Bukhari, Tirmidzi, Ibn Majah)

Ingin berkongsi den
gan sidang pembaca sekalian, cerita ini adalah benar. Semoga cerita ini kita semua dapat mengambil pengajaran, dan ianya mungkin boleh merubah hidup kita, cara kita berfikir serta maksud hidup kita.

BAHRAIN - Kisah seorang lelaki bernama Ibrahim Nasser. Dia telah lumpuh sepenuhnya sejak lahir serta hanya boleh menggerakkan kepala dan jari. Pernafasannya terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.


Gambar 1
Ibrahim telah menanam keinginan untuk bertemu dengan Sheik Nabeel Al-Wadi seorang ulama’ dari Kuwait. Ayah Ibrahim telah memohon kepada Syeikh Nabeel Al-Wadi agar dapat menunaikan hajat anaknya Ibrahim untuk berjumpa dengannya.

Gambar 2
Ini gambar Syeikh Nabeel di Lapangan Terbang dalam perjalanan untuk berjumpa dengan Ibrahim.


Gambar 3
Saat-saat bila Syeikh Nabeel masuk ke dalam bilik Ibrahim.


Gambar 4
Syeikh Nabeel mencium dahi Ibrahim
dan ini adalah wajah kegembiraan Ibrahim bila dapat berjumpa dengan Syeikh Nabeel. Perhatikan alat pernafasan dileher Ibrahim…dia tidak dapat bernafas secara normal. Ibrahim tersangat gembira dapat berjumpa dengan Sheikh Nabeel bila beliau membuka pintu biliknya. Kegembiraannya dapat digambarkan pada raut wajahnya sehingga sukar baginya untuk berkata-kata pada mulanya.


Gambar 5
Ibrahim bersama-sama ayah, bapa saudaranya dan Syeikh Nabeel


Gambar 6
Syeikh Nabeel dan Ibrahim berkongsi cerita tentang dakwah melalui internet dan segala macam usaha yang diperlukan olehnya. Mereka juga berkongsi cerita tentang perkara lain.
Semasa perbualan mereka , Syeikh Nabeel telah bertanyakan satu soalan yang telah menyebabkan Ibrahim tidak dapat menahan tangisan lantas menghamburkan air mata


Gambar 7
Ibrahim tidak dapat menahan air mata yang mengalir apabila mengenangkan pengalaman yang menyedihkan

Gambar 8
Syeikh Nabeel mengusapkan air mata Ibrahim


Gambar 9

Tahukah anda apakah soalan yang telah menyebabkan Ibrahim tidak dapat menahan kesedihan sehingga menangis sepuas-puasnya ?


Syeikh Nabeel telah bertanya kepada beliau, sekiranya Allah memberikan dia nikmat kesihatan sehingga dia boleh berjalan, apakah yang akan dilakukan olehnya ? Mendengar Soalan ini, Ibrahim telah menangis sepuas-puasnya sehingga ayahnya, bapa saudaranya dan kesemua orang di dalam bilik itu termasuk juga jurugambar telah menangis . Dia telah menjawab, demi Allah jika saya boleh berjalan maka saya akan menunaikan sholat saya di masjid dengan penuh gembira dan akan menggunakan segala nikmat kesihatan untuk mendapat redha Allah.


Wahai saudara-saudara sekalian Allah telah memberikan kita semua nikmat kesihatan dan kita semua boleh berjalan dengan tidak ada masalah. Adakah kita menunaikan sholat kita di masjid ataupun kita hanya membuang masa berjam-jam di depan TV dan komputer ? sama-samalah kita renungkan..muhasabah diri..wallahua'lam..











Seminar Kepimpinan Dan Pengurusan Organisasi

Assalamualaikum Untuk Semuanya...

Persoalan kepimpinan merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan setiap manusia. Sejak manusia mengetahui kehidupan secara masyarakat, kepimpinan antara tumpuan utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum menumpukan kepada aspek-aspek lain. Islam sebagai agama yang syumul turut membincangkan konsep kepimpinan yang berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Bagi mewujudkan kepimpinan Islam yang berkesan dan berpengaruh, setiap aspek dalam pengurusan perlu diambil dan dilaksanakan sebaik mungkin. Maka, Islam meletakkan syarat-syarat tertentu agar amanah kepimpinan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menepati matlamatnya. Seorang pemimpin dalam Islam bukan sahaja bertanggungjawab kepada umat bahkan bertanggungjawab kepada Allah s.w.t.

Justeru itu, Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah kali sesi ini mengambil pendekatan dengan menganjurkan program kepimpinan dan organisasi bagi membantu memberikan pengalaman kepada ahli. Program ini merupakan persediaan sebelum terjun ke medan realiti di tanah air kelak.

Insya-Allah esok 13/3/2010 akan berlangsung 1 program di bawah Jabatan Setiausaha Agung PMRAM Cawangan Mansurah. Seminar Kepimpinan Dan Pengurusan Organisasi 2010. Bertemakan "Kecemerlangan Organisasi Pemangkin Qiadah Dakwah". Program yang akan bermula pada jam 7:30 pagi - 5:00 petang. Seluruh ahli dijemput hadir. Pendaftaran LE7 (junaih) sahaja. Antara objektif program ialah :

1. Melahirkan mahasiswa/wi yang faham dan sedia berkorban dengan kerja-kerja Islam.
2. Mendedahkan teknik dan kaedah memimpin dalam mengurus organisasi.
3. Mencerna kualiti perancangan dan perencanaan program yang lebih berkesan.
4. Menanam dan mempertingkatkan semangat berpersatuan dikalangan mahasiswa/wi.
5. Mengeratkan ukhuwah antara ahli.

Semoga Seminar ini dapat mencapai objektif -objektif yang telah dirancang. Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan dan bantuan kepada kita semua demi menjalankan kerja-kerja Islam. Siru A'la barakatillah...

Wallahua'lam..

Majlis Sambutan Maulid Nabi 1431 H

Syukur pada Allah s.w.t kerana masih diberikan nikmat iman dan islam. Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad s.a.w serta mereka yang sentiasa berada di atas jalan yang lurus.

Mansurah 09 Mac - Majlis Sambutan Maulid Nabi telah berlangsung dengan lancarnya. Majlis tersebut diadakan di Dewan Persada Jazira Al-Ward, Utubis Jadid. Sekitar 100 orang ahli mansurah turut hadir. Jemputan khas pada majlis tersebut ialah Imam II Masjid Al-Azhar As-Syarif Syiekh Asyraf Hamid Hasanain. Syiekh telah berkongsi ilmu dengan kami mengenai Sambutan Maulid Nabi. Antaranya ialah :

  • Menerangkan Sambutan Maulid Nabi adalah bukan bida'ah seperti mana sesetengah manusia hari ini menganggap dan menghukum menyambut Sambutan Maulid Nabi adalah perkara bida'ah.
  • Nabi Muhammad s.a.w juga menyambut hari kelahiran baginda s.a.w.
  • Sambutan Maulid Nabi juga dapat mengukuhkan hati kita kepada Nabi Muhammad s.a.w.
  • Nabi adalah sebaik-baik akhlak.
Majlis diselang-selikan dengan selawat dan bacaan burdah buat baginda Muhammad s.a.w. Semoga kita hari ini mendapat syafaat daripada Nabi Muhammad s.a.w kelak serta sentiasa dalam rahmat Allah s.w.t. Majlis berakhir dengan bacaan doa daripada syeikh.

Kenangan bersama : -

Saat menunggu kehadiran Syeikh Asyraf Hamid Hasanain

Syeikh Asyraf Hamid Hasanain
( Imam II Masjid Al-Azhar As-Syarif )


Bacaan Selawat dan Burdah buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Gembiranya bila bersama para ulama'

Bersama Syeikh Asyraf Hamid Hasanain

Wallahua'lam.

SEJARAH MASJID AL AQSA ( PALESTIN)


Baitul-Muqaddis-bumi para anbiya’. Bumi ini telah menjadi saksi ketekunan dan keteguhan para mursalin dalam mendidik manusia mengenal hakikat Tauhid dan ajaran Islam. Bermula dengan penguasaan zuriat Nabi Ishak yakni Bani Israel, kemudiannya Raja Nebuchadnezzar dari Babylon, disusuli pula oleh pemerintahan Empayar Rom dan Byzantium, bumi anbiya’ ini telah menjadi rebutan pelbagai kuasa besar zaman terdahulu.

Akhirnya, pada tahun 638 Masihi, kekejaman dan ketidakadilan pemerintahan asing di bumi Baitul-Muqaddis ini telah ditamatkan oleh Khalifah Islam yang kedua, Umar Al-Khattab. Beliau bersama bala tentera kaum mukminin telah disambut oleh penduduk Baitul-Muqaddis sebagai pembela keadilan dan tentera pembebasan
Sebagai seorang Khalifah yang amat rendah diri dan sederhana, Khalifah Umar bersetuju dan memasuki kota suci ini secara berjalan kaki sahaja tanpa ada sebarang pertumpahan darah. Suatu simbol Islam sebuah agama yang mencintai kedamaian dan keselamatan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

Pembebasan Baitul-Muqaddis ini membuka satu era baru dalam lipatan sejarah Islam. Setelah sekian lama, kiblat pertama umat Islam ini dikotori dengan pelbagai pengamalan syirik dan kecurangan kepada Allah, kini ia milik umat Islam semula dalam mengembalikan kegemilangannya sebagai kota ketiga paling suci dalam Islam.

Setelah memeterai perjanjian damai dengan penduduk Baitul-Muqaddis, Khalifah Umar terus bergerak menuju Haram Asy-Syarif, suatu kawasan seluas 35 ekar dan mendapatinya dipenuhi sampah-sarap. Beliau lantas menggunakan jubahnya untuk mengutip sampah-sarap tersebut dan perbuatan Umar ini diikuti oleh semua kaum muslimin sehinggalah seluruh kawasan Haram Asy-Syarif dibersihkan selayaknya sebagai tempat suci umat Islam.

Di tengah-tengah kawasan ini, tersergam batu di mana berpijaknya Nabi Junjungan sebelum ke langit dalam perjalanan Isra’ dan Mi’raj baginda. Di sudut paling selatan kawasan Haram Asy-Syarif ini, maka dibinalah sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Kubah Kuning (Dome of the rock ). Ia juga dikenali sebagai Masjid Umar merupakan sebuah masjid kayu yang mampu memuatkan 3,000 pengunjung.

Namun demikian, suasana kegemilangan Islam di Baitul-Muqaddis berakhir pada kurun ke-11 apabila Pope Urban II mengisytiharkan Perang Salib yang pertama. Tindakan ini adalah sebagai reaksi terhadap polisi menghalang penziarah-penziarah Kristian memasuki Baitul-Muqaddis oleh pemerintah Islam Seljuk pada masa itu. Gerombolan Kristian Eropah ini bermusafir selama 3 tahun menuju Kota Suci Baitul-Muqaddis dan akhirnya mereka tiba di pintu gerbang kota suci ini pada tanggal 7 Jun 1099.

Setelah 5 minggu mengepung Baitul-Muqaddis, tentera Salib akhirnya berjaya menawan Baitul-Muqaddis dan tanpa belas kasihan membunuh seramai 40,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak kota suci ini.Pemerintahan tentera Salib tidak membawa kedamaian kepada penduduk kota suci ini. Kekejaman dan ketidakadilan menjadi lumrah di Baitul-Muqaddis sepanjang pemerintahan mereka baik kepada umat Islam mahupun penduduk bukan Islam.


Pada tahun 1187 Masihi (setelah 88 tahun dijajah tentera Salib) Panglima Sallahuddin Al-Ayyubi telah berjaya menakluk semula kota suci Islam ini dan sekali lagi Islam membuktikan ia bukan agama keganasan. Pembukaan kedua kota Baitul-Muqaddis ini tidak dicemari oleh sebarang pembunuhan rakyat biasa dan pilihan diberikan kepada penduduk kota ini, khususnya yang bukan Islam, samada ingin berhijrah ataupun terus menetap di Baitul-Muqaddis di bawah pemerintahan Islam dengan jaminan pemeliharaan nyawa, harta dan tempat ibadat mereka.

Namun begitu, , pada tahun 1948 umat Yahudi telah berjaya menubuhkan negara haram Israel dengan bantuan kuasa-kuasa Barat dan sejak itu bumi anbiya’ ini tidak pernah kenal erti keamanan. Sejak dari itu keangkuhan rejim Yahudi semakin menjadi-jadi

Pada tahun 1967, tentera Yahudi laknatullah telah berjaya mencerobohi Baitul Muqaddis Timur dan telah meratakan Maghribi Quarter. 2 masjid dan 135 rumah rakyat Palestin telah diruntuhkan meninggalkan 650 orang rakyat Palestin tanpa rumah kediaman.Seterusnya pada tahun 1969 seorang pelawat Yahudi Australia telah bertindak membakar Masjid Al-Aqsa yang memusnahkan mihrab yang dibina oleh Sallahuddin Al-Ayyubi . Tidak cukup dengan itu malah dengan bongkaknya Perdana Menteri Ariel Sharon memasuki kawasan Al-Quds pada tahun 2000 . Tindakan ini telah membakar api kemarahan umat Islam. seluruh dunia.

Disini jelas terbukti bahawa setiap kali bumi anbiya’ ini dipimpin oleh mereka yang teguh keimanannya kepada Allah, keamanan dan kedamaian pasti dikecapi oleh semua. Sesungguhnya Islam adalah agama yang membawa kepada keamanan dan kedamaian sejagat.Kesucian masjid suci ini harus dipelihara. Oleh itu umat Islam harus bangkit mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan maruah saudara-saudara seagama mereka dalam apa jua cara yang terdaya. Jangan dibiarkan maruah Islam dihina dan direndahkan. Wallahu a'lam.

Perkasakan Biah Solehah



Syukur kepada Allah s.w.t Tuhan semesta alam pemilik segala makhluk di bumi. Selawat dan salam buat kekasih-Nya Nabi Muhammad s.a.w serta mereka yang sentiasa berada di dalam saf-saf perjuangan Islam. Semoga Allah menempatkan kita semua dikalangan orang-orang yang beriman. Amin Ya Rabbal A’lamin.

Firman Allah s.w.t :
Maksudnya : Dan hendaklah ada di kalangan kamu, satu golongan yang mengajak (manusia) kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.
(Surah Ali-‘Imran : 104)

Firman Allah s.w.t :
Maksudnya : Kamu (Umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.
(Surah Ali-‘Imran :110)

Firman Allah s.w.t :
Maksudnya : Wahai Rasul ! Sampaikanlah apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu. Jika tidak engkau lakukan (apa yang diperintahkan itu) bererti engkau tidak menyampaikan amanat-Nya.
(surah Al-Maidah : 67)

Sidang pembaca sekalian,
Ana ingin berkongsi beberapa perkara yang sangat penting di dalam kehidupan kita seharian. Kehidupan manusia di atas muka bumi ini hanyalah sementara. Kehidupan yang sebenar hanyalah di akhirat kelak. Manusia yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t adalah manusia yang sentiasa taat akan suruhan-Nya dan meninggal larangan-Nya. Disulami dengan amal perbuatan yang baik.

Bagi menjadi manusia yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t sebagai satu contoh kita perlu menjadikan seorang insan sebagai idola kita. Selain berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Muhammad Bin Abdullah adalah insan yang sangat sesuai untuk kita jadikan idola kita. Baginda seorang Rasul dan seorang Nabi. Insan yang sangat suci ini dipelihara oleh Allah s.w.t. Kita lihat hari ini, masyarakat Malaysia lebih mengangkat dan mengidolakan para artis kesukaan mereka. Mengapa ini terjadi???adakah salah pimpinan Malaysia???adakah salah keluarga??? Tidakkah kita pernah terfikir siapakah yang akan memberikan syafaat kepada kita kelak???adakah idola artis2 pujaan mereka??renung-renungkanlah…

Sidang pembaca sekalian,
Baru-baru ini, ana sempat mengikuti 1 kempen pelancaran “ BIAH SOLEHAH ”. Kempen ini mempunyai 5 perkara dan amat bagus untuk kita semua terapkan dalam kehidupan kita seharian. Tidak kira manusia itu menceburi dalam aspek apa jua sekalipun. Kempen ini mengajak kita supaya menjadi insan cinta kepada Allah s.w.t, insan yang baik, insan yang dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

Kempen Biah Solehah tersebut ialah :

1) Solat Berjemaah :

Nabi Muhammad s.a.w bersabda mafhumnya :
Solat secara berjemaah adalah lebih baik daripada solat bersendirian kerana ia digandakan sebanyak 27 pahala ( riwayat al-bukhari dan muslim)

Firman Allah s.w.t :
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( al-baqarah :153)

2) Cegah ikhtilat tidak syar’ie :

Nabi Muhammad s.a.w bersabda mafhumnya :
Tidaklah seseorang itu berada berdua-duaan bersama yang bukan mahramnya melainkan ada yang ketiga iaitu syaitan. ( riwayat ahmad)

3) Penyalahgunaan Teknologi :

Berkata Syauki si penyair :
Daripada pandangan akan lahir senyuman, kemudian bermulalah percakapan, maka terdetik hati untuk membuat perjanjian, akhirnya akan terjadilah pertemuan.

4) Tautan Ukhuwwah :

Firman Allah s.w.t :
Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu maka damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat. (al-hujurat : 10)

5) Pembentukan Syakhsiah :

Nabi Muhammad s.a.w bersabda mafhumnya :
Golongan yang akan mendapat bayangan arasy Allah s.w.t di hari kiamat kelak salah satu daripadanya adalah individu yang hidup membesar dalam suasana pembentukan syakhsiah.

Sesungguhnya persekitaran yang mengamalkan ciri2 keislaman dan menurut perintah Allah s.w.t serta sunnah yang dijunjungi itulah yang dapat melahirkan peribadi syakhsiah seorang muslim dan muslimah yang sejati.

Firman Allah :
Katakanlah wahai (Muhammad), “jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.” Dan Allah maha pengampun lagi maha penyayang. (surah al-imran : 31)

Segala kesimpulannya, semoga 5 perkara ini dapat kita ikuti bagi mendambakan kecintaan kita kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w sebagai cinta yang sejati.

Wallahua’lam.