SELAMAT BERPUASA RAMADHAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Marilah sama-sama kita panjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah Taa'la. Lafaz salam dan selawat buat junjuangan besar kekasihnya Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat, serta mereka yang sentiasa mengajak ke arah kebaikan sehingga hari kiamat. Amin Ya Rabbal A'lamin.

Ramadhan Karim menjelma lagi,

Sesungguhnya bulan syaaban hanya berbaki beberapa hari lagi. Bulan syaaban yang penuh dengan sejarah antaranya nisfu syaaban, penukaran kiblat dari Masjid Al-Aqsa di Bairul Maqdis ke Kaabah di Masjidil Haram, Peperangan Bani Mustalik, peperangan badar yang terakhir dan lain. Bulan ini bakal meninggalkan kita dan bakal menjelma bulan yang penuh bakarah Ramadhan Al-Mubarak.

Firman Allah s.w.t bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu sebelum kamu, mudah-mudahan kamu perolehi ketaqwaan. (surah al-baqarah :183).

Rasulullah s.a.w bersabda : Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang dinamakan Ar-Rayyan, orang-orang yang berpuasa sahaja memasukinya manakala orang-orang lain selain mereka tidak dibenarkan masuk. (Muttafaqun 'Alaihi)

Sidang pembaca sekalian,

Bulan ramadhan adalah bulan tarbiah@latihan buat seluruh umat islam. Pada bulan ini, semua umat islam diwajibkan berpuasa selama sebulan. Kewajipan berpuasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, bahkan hendaklah juga menitikberatkan adab-adab berpuasa. Sebagai panduan untuk kita beroleh ganjaran pahala dan kesempurnaan ibadat puasa itu, eloklah kita mengetahui adab-adab yang perlu dijaga ketika seseorang menjalani ibadat puasa, iaitu:

Pertama) Menutup pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh syara' dan boleh melalaikan hati daripada mengingati Allah Subhanahu Wataala.

Kedua) Menutup telinga daripada mendengar perkara-perkara yang diharamkan supaya tidak tergolong ke dalam golongan yang dimurka oleh Allah s.w.t.

Ketiga) Menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah apatah lagi mengeluarkan perkataan yang diharamkan seperti mengumpat, berdusta, menfitnah dan sebagainya, kerana hal ini akan mengurangkan pahala puasa.

Keempat) Memelihara seluruh anggota yang lain seperti tangan, kaki dan sebagainya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan diharamkan.

Termasuk juga antara lain adab berpuasa itu ialah tidak berlebih-lebihan dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa lebih-lebih lagi jika berlaku pembaziran. Pembaziran hukumnya adalah haram. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Begitu juga, tidak boleh berlebih-lebihan ketika menikmati juadah berbuka puasa. Seseorang yang makan berlebihan boleh menyebabkan lalai dan malas untuk mengerjakan sembahyang dan ibadat-ibadat yang lain.

Firman Allah s.w.t bermaksud : "Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas". (Surah Al-A'raaf :31)

Di samping kita menjaga adab-adab dalam menunaikan ibadat puasa itu, perlulah di ingat wahai kaum muslimin akan perkara niat berpuasa, kerana niat itu adalah merupakan salah satu rukun dalam ibadat puasa yang jika kita tidak melakukannya, ibadat puasa yang di kerjakan itu tidak sah malah tidak diterima.

Pada bulan ini juga banyak pertistiwa-peristiwa yang berlaku. Sebagai umat islam kita semua diajak agar sama-sama kita memperingati peristiwa-peristiwa yang berlaku antaranya ialah:

Pertama : Peperangan Badar Al-Kubra. Peperangan ini berlaku pada 17 ramadhan tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan 624 masihi.

Kedua : Pembukaan Mekah. Pembukaan Mekah berlaku pada 21 ramadhan tahun ke 8 hijrah bersamaan 630 Masihi.

Ketiga : Peperangan Al-Qadisiyah diantara orang Islam pimpinan Saan bin Abi Waqas dan Parsi pada tahun ke 4 hijrah bersamaan dengan 635 Masihi. Tentera islam berjumlah 10 000 orang manakala tentera kuffar berjumlah 120 000 orang.

Keempat : Pembukaan Andalusia (Spain) oleh Tariq bin Ziad pada bulan Ramadhan tahun ke 92 hijrah bersamaan dengan 711 Masihi.

Kelima : Peperangan Hittin pada Ramadhan tahun ke 583 hijrah bersamaan dengan 1178 Masihi di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi.

Keenam : Kekalahan tentera Tartar di bawah pimpinan Hulaku Khan dalam peperangan di Ain Jalut, Palestin pada 25 ramadhan tahun 658 hijrah bersamaan dengan 1260 Masihi. Tentera islam dipimpin oleh Al-Muzaffar Saifuddin Qudus.

Ketujuh : kekalahan tentera Israel di tangan tentera Mesir pada 10 Ramadhan tahun 1393 hijrah bersamaan dengan 6 Oktober 1973.

Demikianlah diantara peristiwa2 sejarah yang berlaku sepanjang bulan ramadhan.

Akhirnya, marilah sama-sama kita semua tingkatkanlah peribadatan, gandakanlah amalan-amalan serta perbanyakkanlah doa dan zikir lebih-lebih lagi apabila kita berada di sepanjang bulan Ramadhan nanti. Perbanyakkanlah berdoa kerana doa orang yang berpuasa terutamanya ketika dia berbuka adalah sangat mustajab dan tidak tertolak oleh Allah Subhanahu Wataala, sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ibnu Majah dari Ibnu Sunni yang maksudnya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika dia berbuka itu adalah waktu berdoa yang tidak akan tertolak.

Selamat Menjalani Ibadah Puasa Ramadhan
Sekian..

0 Response to "SELAMAT BERPUASA RAMADHAN"

Catat Ulasan