Orang Munafik menurut Al-quran dan Sunnah

UMAT islam sejak dari zaman Rasulullah S.A.W sampai ke hari ini tidak terlepas dari angkara dakyah dan propaganda orang-orang munafik yang amat busuk hati mereka terhadap kebenaran dan kejayaan islam. Orang munafik sentiasa memusuhi Allah dan Rasulnya serta umat islam di mana-mana sahaja sepanjang masa. Mereka sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan, meragukan, dan menghancurkan umat islam dengan berbagai cara supaya sikap, pemikiran dan ideologi mereka agar dapat dijiwai dan diamalkan oleh umat islam secara total, sehingga menyalahi segala aspek ajaran dan hukum Allah.

Secara umumnya perkataan munafik dalam istilah agama ialah seseorang yang memperlihatkan keimanan pada zahirnya, tetapi menyembunyikan kekafiran pada zahirnya. Menurut Imam Nawawi, apabila orang beriman mempunyai atau menyerupai sifat-sifat munafik, maka ia disebut nifak iaitu melahirkan sesuatu yang menyalahi keadaan hatinya. Justeru itu jika sesorang muslim yang mempunyai sifat nifak sedangkan ia tidak menyedarinya, maka kemungkinan berlakulah percampuran antara kekafiran dan keimanan di dalam hati dan jiwanya jika tidak diiringi dengan penyesalan dan memohon keampunan Allah.

Firman Allah bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, takutilah kepada Allah dan katakanlah perkataan betul, nescaya diperbaikinya (diterimanya) amalan kamu dan diampuninya dosamu. Barangsiapa yang mengikuti Allah dan Rasulnya, maka sesungguhnya ia telah menang dengan kemenangan yang besar.” ( Al-Ahzab:70-71)

Landasan hidup orang munafik adalah kekafiran, rasa pengecut dengan menyembunyikan kekafirannya. Apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman mereka berpura-pura beriman, tetapi ternyata dalam hati dan jiwa mereka penuh dusta dan palsu semata-mata.

Pada hakikatnya orang-orang munafik lebih merosak dan lebih jahat daripada kafir walaupun mereka sama-sama hidup dalam kekafiran. Orang munafik amat licik dan dapat menipu dan menyesatkan orang-orang beriman. Mereka mempunyai ideologi dan matlamat yang tersendiri untuk memperdayakan umat islam agar menyimpang dari segala kebenaran.

Ulama ahli sunnah waljamaah telah membahagikan tanda-tanda munafik atau nifak kepada dua macam iaitu:

Pertama: (Nifak I’tiqadi) iaitu dalam bentuk keimanan. Nifak jenis ini menyebabkan mereka terkeluar dari agama kerana dalam hatinya mendustakan Allah, Rasul, Kitab, dan sebagainya. Meskipun pada zahirnya ia tampak mengakui kebenarannya, sebagaimana dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran dengan firman Allah yang bermaksud:

“Di antara manusia ada yang berkata: kami telah beriman kepada Allah dan hari kemudiannya, padahal mereka itu bukan orang-orang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka tiada menipu (orang lain) hanya diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak sedar. Dalam hati mereka ada penyakit (syak wasangka), lalu ditambah Allah penyakit itu dan untuk mereka seksa yang pedih kerana mereka berdusta." (Al-Baqarah 8-9)

Kedua: Nifak Amali. Iaitu dalam perbuatan yang menyalahi ajaran Al-quran dan sunnah serta ijmak ulama.

Rasulullah SAW bersabda:

اية المنافق ثلاث: اذا حدث كذب, واذا وعد اخلق و اذا ؤتمن خان. رواه مسلم

Er tinya:
“Ada tiga tanda orang munafik, jika berkata ia dusta, jika berjanji ia mungkir dan jika dipercayai ia khianat.” (HR: Muslim).

Perbuatan ini telah bertakhta dalam jiwa masyarakat islam tanpa disedari. Dengan demikian setiap individu muslim wajib mengekang diri agar selamat dari bahang nifak. Umar Al Khattab r.a. pernah berwasiat kepada umat islam dengan berkata:

“ Perhitungkan dirimu sebelum kamu diperhitungkan dan timbangkanlah dirimu sebelum kamu ditimbangkan serta bersiap-siaplah untuk hari pembalasan yang besar (hari kiamat).”

Sekian. Wallahua’lam.

0 Response to "Orang Munafik menurut Al-quran dan Sunnah"

Catat Ulasan