Menangislah Kerana Allah s.w.t


Bumi kata pergi kubur kata mari. Itulah satu ungkapan yang selalu kita dengar. Sedar tidak sedar usia kita hari ini makin bertambah. Bahkan kehidupan kita ini semakin dekat dengan Allah s.w.t. Hari pembalasan (yau mul hisab) semakin menghampiri kita. Mari kita muhasabah bersama, sudah banyakkah amalan kita untuk dibawa kesana? apakah semua amalan di dunia ini akan diterima oleh Allah s.w.t? Ya Allah...

Firman Allah s.w.t "Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang mensucikan diri" (Surah Al-Baqarah:222)

Firman Allah s.w.t "Dan Dialah Yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan." (Surah Asy-Syuuraa:25)

Pada zaman Nabi Musa A.S, datanglah kepada beliau seorang wanita untuk bertaubat kepada Allah s.w.t atas semua kesalahan yang telah dia lakukan selama ini. Wanita tersebut berkata:" Wahai Nabiullah, saya jauh-jauh datang ke sini hanya untuk bertaubat kepada Allah, mohonkan taubatku diterima oleh-Nya". Nabi Musa AS, berkata:" Gerangan dosa apakah yang telah engkau perbuat, hingga engkau ingin bertaubat kepada Allah SWT?". Wanita tersebut berkata kembali:" Aku telah berzina dengan seseorang dan telah melahirkan seorang bayi, kerana rasa malu dan takut diketahui oleh orang lain, maka aku bunuh bayi tersebut".

Demi mendengar itu semua, Nabi Musa sangatlah marah, lalu Beliau berkata:" Pergilah engkau, jangan kau bakar aku dengan api neraka yang diakibatkan oleh perbuatanmu itu!!". Wanita tersebut menangis lalu berkata:" Wahai Nabi Allah, tidakkah aku dapat bertaubat kepada Allah, dan aku berjanji tidak akan mengulangi semuanya itu". Nabi Musa A.S masih dalam keadaan marah lalu mengusir wanita tersebut sambil berkata:" Dosamu terlalu besar dan tidak bisa dimaafkan".

Lalu pulanglah wanita tersebut sambil menangis. Tidak lama dari kejadian tersebut, datanglah Malaikat jibril kepada Nabi Musa A.S. Jibril berkata:" Wahai Musa, Allah telah menegurmu, mengapa engkau tolak taubat wanita tersebut, padahal wanita tersebut telah benar-benar mengakui kesalahan dan menyesal atas semua kesalahannya itu, dia ingin kembali ke jalan yang benar, harusnya Engkau membimbingnya bukannya mengusirnya!!!".

Demi mendengar itu semua, Nabi Musa berkata:" Dosa wanita tersebut terlalu besar wahai Jibril, dan Aku tidak yakin Allah akan mengampuni dosa tersebut". Jibril berkata:" Allah maha pengampun lagi maha mendengar taubat dari Hamba-Nya yang benar-benar ingin bertaubat, Bahkan dosa yang lebih besar dari itupun Allah pasti akan mengampuninya".

Berkata Nabi Musa AS:" Dosa apakah yang lebih besar daripada dosa wanita yang telah berzina dan membunuh anak dari hasil perzinaan tersebut, Ya Jibril???". Jibril menjawab:" Seseorang yang meninggalkan Sholat dengan sengaja". Mendengar itu semua Nabi Musa menangis dan dia menyesal atas kekeliruan yang telah beliau lakukan kepada wanita yang benar-benar ingin bertaubat.

Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat. Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan. Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf. (Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Ibnu Hibban).

Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.(Hadis riwayat Ahmad).

RENUNGAN

Allah SWT Maha pengampun kepada Hamba-Nya yang benar-benar ingin bertaubat.
Tidak ada manusia yang tidak punya dosa, kerana manusia selalu dihinggapi dosa. Dan manusia yang baik bukanlah manusia yang tanpa dosa, tetapi manusia yang apabila dia melakukan dosa, dia menyedari kesalahan dan bertaubat kepada Allah.

Oleh kerana itu sebelum terlambat, marilah kita memohon ampun kepada Allah s.w.t, sering-seringlah ber"istighfar". Mudah-mudahan semua dosa kita bisa diampuni oleh Allah SWT. Amin Ya Rabbal A'lamin
Semoga tulisan sederhana ini membawa banyak manfaat bagi yang membacanya. Segala kesalahan adalah dari saya peribadi. Oleh yang demikian saya mengucapkan mohon maaf yang sebesar-besarnya. Dan kebenaran itu mutlak milik Allah SWT.

Ya Allah...
Terimalah Taubat kami...
Jadikan Air Mata ini sebagai saksi penebus dosa-dosa kami di akhirat kelak...
Ya Allah...
Kasihanilah kami semua...
Terimalah kami sebagai hamba Mu yang beriman dan beramal soleh...
Amin Ya Rabbal A'lamin...

0 Response to "Menangislah Kerana Allah s.w.t"

Catat Ulasan