Pengertian Taqwa




Assalamualaikum w.b.t

Taqwa disebut di dalam Al-Quran mengandungi tiga makna :-

Pertama:
Takut kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t bermaksud : "Dan kepada Akulah kamu semua takut (bertaqwa)".
(Surah Al-Baqarah:41)

Kedua:
Taat dan beribadah kepada Allah s.w.t

Firman Allah s.w.t bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan berserah diri (muslim)". (Surah Al-Imran:102).

Erti taqwa dalam ayat di atas adalah : Taatlah dengan sebenar-benar keaatan.

Ketiga:
Mensucikan hati dari menderhaka dan dosa. Inilah makna yang banyak terdapat di dalam Al-Quran.

Mengikut para salafus salih, taqwa ditakrifkan dengan perlbagai erti:

Ali bin Abi Talib pernah ditanya: "Apakah taqwa itu?". Beliau menjawab : "Taqwa adalah takut kepada Allah Yang Maha Agung, mengamalkan wahyu, puas terhadap yang sedikit dan bersiap-siap untuk menghadapi hari kebangkitan".

Abu Darda' berkata : "Kesempurnaan taqwa, hendaklah seorang hamba takut kepada Allah s.w.t, meskipun kerana sesuatu perbuatan yang hanya sebesar biji sawi, dan dia meninggalkan sebahagian yang dilihatnya halal kerana khuatir hal itu haram, sehingga akhirnya menjadi penghalang antara dirinya dan hal yang haram".

Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjelaskan kepada hambanya akan balasan yang akan diperolehinya terhadap seluruh perbuatannya.

Firman Allah s.w.t bermaksud : "Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula" (Surah Az-Zalzalah:7-8).

Janganlah meremehkan sedikitpun kebaikan sehingga engkau mahu mengerjakannya dan janganlah meremehkan sedikit kejahatan sehingga engkau takut kepadaNya.

Muadz bin Jabal berkata : "Pada hari kiamat manusia akan ditahan di dalam satu tempat, lalu ada penyeru yang berseru :"Mana orang-orang yang bertaqwa?". Maka merekapun berdiri di sisi Allah s.w.t, tidak ada batas dan tabir antara Allah dengan mereka. Saya bertanya:"Siapakah orang-orang yang bertaqwa itu?". Beliau menjawab:"Orang-orang takut akan syirik Allah dan penyembahan terhadap berhala. Mereka memurnikan ibadah kepada Allah, lalu merekapun berjalan menuju syurga".

Abdullah bin Mas'ud berkata : "Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, hendaklah Allah ditaati dan tidak diderhakai, diingat tidak dilupakan, disyukuri tidak diingkari".

Abdullah bin Abbas berkata : " Dengan sebenar-benar taqwa". Ertinya: Mereka berjihad fi sabilillah dengan sebenar-benar jihad, tidak peduli terhadap celaan orang yang suka mencela tentang Allah, menegakkan keadilan, meskipun terhadap diri sendiri, ayah dan anak-anaknya".

Umar bin Abdul Aziz berkata : "Taqwa kepada Allah s.w.t itu bukan dengan berpuasa di siang hari dan sembahyang pada malam hari, serta menyatukan diantara keduanya. Tetapi taqwa kepada Allah ialah meninggalkan apa yang diharamkan Allah s.w.t dan melaksanakan apa yang diwajibkanNya. Makan barangsiapa yang dianugerahkan kebaikan sesudah itu, maka itulah kebaikan yang disusuli dengan kebaikan".

Al-Hasan Al-Basri berkata : "Orang-orang yang bertaqwa adalah orang-orang yang takut kepada terhadap apa-apa yang diharamkan oleh Allah dan mengerjakan apa yang diwajibkan ke atas mereka".

Demikianlah sedikit sebanyak maksud Taqwa yang boleh kita berkongsi bersama. Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita semua bertaqwa kepada Allah s.w.t. Moga2 kita semua menjadi insan yang mulia disisinya...Amin Ya Rabbal A'lamin...

1 Response to "Pengertian Taqwa"

  1. cikdin says:

    assalamualaikum ustaz, terbaik ustaz,minta share utk dikongsi nga kawan-kawan tokdin

Catat Ulasan