FITNAH : BOLEH ROSAKKAN UKHUWWAH

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji dan pujian kepada Tuhan Semesta Alam. Tuhan yang boleh menghidupkan dan mematikan manusia. Tuhan yang selalu memberikan nikmat islam dan iman kepada hamba-hambanya. Dialah Allah s.w.t. Selawat dan salam buat kekasihnya Nabi Muhammad s.a.w serta mereka yang sentiasa berada di jalan yang lurus. Insya-Allah. Amin Ya Rabbal A'lamin.

Sidang Pembaca Sekalian,

SATU sikap yang merosakkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam ialah ‘suka membawa mulut’, mereka-reka serta menambah cerita buruk, malah melaga-lagakan orang sehingga kisah yang pendek menjadi panjang.

Ia juga disebut menabur fitnah atau ‘namimah’ iaitu menceritakan keburukan orang dikhalayak ramai dengan tujuan menimbulkan kebencian dan permusuhan terhadapnya.

Kesan daripada perbuatan itu bukan hanya merugikan seorang dua, malah menyebabkan hilangnya perasaan kasih sayang, hormat dan kepercayaan dikalangan masyarakat sehingga runtuh segala sendi kebahagiaan hidup bermasyarakat.

Sikap seperti itu sangat tercela. Ia satu daripada perbuatan dosa besar yang akan mendapat ancaman seksa amat besar di hari pembalasan kelak.

Antara faktor yang menimbulkan fitnah ialah dorongan perasaan iri hati atau dengki terhadap orang lain, ditambah kekurangan iman dan tiada kefahaman mengenai larangan dan kemurkaan Allah, malah hati dan jiwa seseorang yang kotor, lemah tahap pemikirannya dan sukar menerima kebenaran.

Firman Allah s.w.t bermaksud :

Adapun orang yang berpenyakit dalam hati mereka, maka surah Al-QUran itu menambahkan kekotoran yang sedia ada pada mereka: dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir”.
( Surah At-Taubah : 125).

Faktor lain yang mendesak seseorang melakukkan fitnah kepada saudaranya ialah kerana ingin mendapatkan kuasa, pengaruh serta kepercayaan orang terhadap diri dan dakwaannya, malah ingin menunjukkan dirinya seorang yang lebih baik daripada saudaranya itu.

Islam menasihati umatnya agar melindungi rahsia saudaranya, bukan sengaja mencari kelemahan dan membuka aibnya kepada khalayak, kerana dengan tindakan itu boleh menjatuhkan maruahnya.

Rasulullah s.a.w menegaskan, menyelidiki rahsia dan memfitnah orang lain yang baik, termasuk ciri orang munafik yang mengakui beriman dengan lidahnya, sedangkan hatinya benci. Mereka di hari kiamat akan dibebani dengan dosa besar didepan Allah.

"Dan janganlah kamu mengakui apa yang kamu tidak ketahui: sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan".

Orang yang menyebarkan fitnah nanti di dalam kubur akan diseksa Allah. Perkara ini dapat dibuktikan melalui kisah yang diceritakan Rasulullah s.a.w.

Suatu ketika Rasulullah s.a.w melalui dua kubur lalu baginda bersabda, maksudnya : “Sesungguhnya penghuni dua kubur ini sedang diseksa. Adapun seorang daripadanya tidak bersuci daripada kencingnya dan yang satu lagi suka memfitnah. Kemudian Rasulullah s.a.w mengambil pelepah kurma yang basah dan memotong dua, lalu dipacakkan pada kedua-dua kubur terbabit sambil berdoa: “Semoga Allah meringankan seksaan atas keduanya”.

Allah tidak membenarkan perkara keji, berita palsu berkembang dalam masyarakat Islam, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan kehormatan dan maruah seseorang.

Orang yang suka menjatuhkan maruah orang lain dan suka mengadu domba tidak akan masuk syurga, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba”. ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim ).

Sebagai Muslim, sepatutnya masing-masing menghayati pengertian terhadap ‘Islam’ yang dianuti dan dijadikan cara hidup, iaitu kesejahteraan.

Agama kesejahteraan bukan hanya menjamin kesejahteraan kepada diri sendiri, malah ia juga memberikan kesejahteraan kepada diri sendiri, malah ia juga memberikan kesejahteraan kepada orang lain, dengan tidak mengata terhadap saudara seagama, tidak menyakiti mereka dan tidak mencabuli hak mereka.

Perbuatan menabur fitnah sebenarnya lebih tajam daripada membunuh, kerana kesan kerosokannya lebih teruk. Jika dengan membunuh, walaupun ia tetap salah, tetapi mangsanya mungkin seorang, tetapi dengan fitnah mungkin mengakibatkan ramai orang dan kesannya berentetan sehingga bertahun-tahun.

Pada zaman nabi dulu pernah berlaku peristiwa fitnah, sebagaimana dialami isteri baginda, Saidatina Aisyah r.a.h. Beliau dituduh melakukan perbuatan keji dengan Safwan bin al-Ma’athal selepas perang umat Islam dengan Bani Mushthalaq pada tahun kelima hijrah.

Akibat kejadian itu, lebih sebulan Aisyah sakit dan diasingkan Rasulullah s.a.w sehingga turun ayat yangmenegaskan kesucian beliau.

Firman Allah s.w.t bermaksud :

" Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu, janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang diantara akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya diantara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan akhirat) ".

" Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang beriman-lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata : Ini ialah tuduhan dusta yang nyata ".

" Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta ".

" Dan kalaulah tidak kerana ada limpah kurnia Allah dan rahmat - Nya kepada kamu, di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita paslu itu ".

" Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya ".

" Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata : Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau Ya Allah dari mencemar nama baik ahli rumah Rasulullah! Ini adalah satu dusta besar yang mencengangkan ".
(Surah An-Nur : 11-16)

Firman Allah s.w.t bermaksud :

" Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan ke'aiban orang lain ".
(Surah Al-Hujuraat : 12)

Firman Allah s.w.t bermaksud :

" Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah ( untuk menentukan ) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini-dengan sebab kejahilan kamu
( mengenainya ) - sehingga kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan ".
(Surah Al-Hujuraat : 6)

Melalui keterangan itu jelas kepada umat Islam, apabila menerima sesuatu berita hendaklah terlebih dulu diselidiki, lebih-lebih lagi berita yang menyentuh kehormatan seseorang, kerana mungkin dengan penyelidikan itu dapat mengetahui lebih jelas perkara terbabit, sama ada benar atau palsu.

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.

Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.

Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.

Semoga kita dapat mengambil pengajaran dan tauladan daripada penulisan ini. Mohon maaf sekiranya terdapat kecacatan penulisan. Sesungguhnya kita semua adalah insan yang lemah.

Mohd Alif Junaidi Bin Haji Abdullah
Kuliah Usuluddin
Jabatan Aqidah Dan Falsafah
Al-Azhar Cawangan Mansurah

Sekian, Wassalam.

0 Response to "FITNAH : BOLEH ROSAKKAN UKHUWWAH"

Catat Ulasan