Hati Manusia


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan Salam ke atas Rasulullah S.A.W dan ahli keluarga baginda.


Sabda Nabi Muhammad s.a.w :

أَلاَ وَ إِنَّ فِي الْجَسَدِ مٌضْغَةُ إِذَا صَلٌحَتْ صَلٌحَ الْجَسَدٌ كُلٌّهٌ وَ إِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدٌ كٌلٌّهٌ أَلاَ وَهِيَ القَلْبُ

Maksudnya : Ketahuilah, sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat seketul daging, apabila elok daging tersebut, maka eloklah jasad tersebut keseluruhannya, apabila ia rosak, maka rosaklah jasad keseluruhannya, ketahuilah bahawa ia adalah Hati. (Shahih Muslim :1599)

Allah s.w.t telah menciptakan di dalam setiap tubuh manusia itu seketul daging. Ia menjadi alat yang mengawal diri manusia, samaada melakukan kebaikan, mahupun keburukan. Anggota manusia yang terzahir adalah hasil itu sendiri.


Ulamak-ulamak terdahulu amat mementingkan dan menitikberatkan soal penjagaan hati. Ini kerana hati yang bersih akan menyebabkan segala amal ibadah kita diterima Allah s.w.t. dan sebaliknya. Sesungguhnya ramai hari ini tidak menyedari bahawa makhluk yang bernama hati inilah yang menghala tubuh manusia samada ke syurga ataupun neraka. Ia juga mengawal manusia samaada ikhlas atau riak samata-mata. Bayangkanlah sekiranya hati itu adalah sebiji racun yang mendiami tubuh seseorang sudah pasti dia mati kerana ia tersimpan di dalam tubuhnya.

Sidang Pembaca sekalian,

Ingin berkongsi tentang hati beberapa perkara iaitu :

1)Hati Kita Diketahui Oleh Allah s.w.t

Firman Allah s.w.t maksudnya :

Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati. ( Surah Al-Ghafir :19)

Firman Allah s.w.t maksudnya :

Dan tidakkah mereka ketahui bawah Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka pamerkan?
( Surah Al-Baqarah : 77)

Melalui ayat ini jelaslah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui setiap perbuatan kita samaada baik mahupun buruk yang tersimpan di dalam hati.

2) Hati adalah tempat yang dipandang oleh Allah s.w.t

Nabi Muhammad s.a.w bersabda :

إن الله لا ينظر إلى صوركم و أعمالكم و إنما ينظر إلى قلوبكم و نياتكم
Maksudnya : Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa dan perbuatan kamu, akan tetapi Allah s.w.t memandang kepada hati dan niat kamu. (Hadis soheh : Riwayat Ahmad, Muslim & Ibnu Majah).

Maka hati adalah tempat yang dipandang oleh Allah s.w.t. Hari ini ramai sangat manusia yang tertipu dengan tipu daya syaitan. Mereka sanggup berhias-hias, bersolek dengan pelbagai fesyen dengan mengeluarkan duit yang cukup banyak untuk mempamerkan kecantikan diri mereka walhal perkara itu amatlah rugi bagi mereka yang sedemikian. Kecantikan itu hanyalah sebentar sahaja kerana ia adalah pinjaman dari Allah s.w.t. dan ianya juga akan dikembalikan pada-Nya.

3) Hati mempunyai 5 keadaan

Imam Al-Ghazali menyebut di dalam kitabnya Minhajul Abidin Ila Jannati Rabbil Alamin bawah keadaan-keadaan yang biasa terjadi di dalam hati ialah :

3.1 Permusuhan - Permusuhan kerap terjadi apabila ianya dijangkit kuman dengki. kesannya keadaan hati akan berubah dan menjadi benci serta terbakar antara 2 pihak di dalam permusuhan. Hati tidak akan rasa tenang bagaikan "ombak yang sedang bergelora di lautan".

3.2
Bercelaru - Di dalamnya terdapat 2 makhluk, iaitu akal dan nafsu. Kedua-duanya sering bergaduh. Apabila akal kalah dengan nafsu, maka ia akan menyebabkan seseorang bertindak luar akalnya. Pergaduhan inilah yang menyebabkan hati itu bercelaru. Janganlah anda lalai daripadanya supaya akal anda tidak dikalahkan oleh nafsu.

3.3 Terdedah - Hati yang tidak dikunci@pagar dengan baik, maka ia akan mudah dimasuki oleh panahan syaitan. Bagaikan rumah yang tidak berkunci akan dimasuki pencuri. Hati perlulah dikunci dengan makanan rohani iaitu zikrullah, membaca al-quran, mendengar ceramah dan lain-lain.

3.4 Susah diubati - Hati hendaklah sentiasa diubati. Apabila seseorang itu terlupa untuk mengubatinya maka ia akan mati. " Apabila jiwa itu merasa besar iaitu menyombong, jasad itu akan menjadi penat untuk mencapai kehendaknya ".

3.5
Mudah berubah - Sesungguhnya hati manusia mudah sangat untuk berubah. Bila bisikan syaitan menggoda setiap anak adam ke arah kejahatan. Ketika itu juga, perasaan ragu-ragu akan datang. Berdoalah moga Allah perkuatkan dan memperkukuhkan hati kita supaya hati kita tidak mudah berubah.

Firman Allah s.w.t maksudnya :

" Mereka takutkan hari kiamat yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan ".
(Surah An-Nur : 37)

Kesimpulannya, hati mestilah dikenali terlebih dahulu. Manusia sering bergaduh dengan seseorang kerana tidak mengenali hatinya. Tinggallah apa yang meragukan kamu, kerana itulah perangai hati. Ingtlah keraguan itu datangnya daripada bisikan syaitan yang cuba merosakkan hati kamu.

Nasihat penulis buat sidang pembaca sekalian :

1. Elakkan daripada tidur yang terlalu banyak kerana ianya akan menggelapkan hati.
2. Elakkan daripada gelak ketawa yang terlampau kerana ianya akan menggelapkan
hati.

wallahua'lam...













0 Response to "Hati Manusia"

Catat Ulasan