Kehalusan Titi Siratul Mustaqim Bagai Rambut Di Belah Tujuh


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t

Ketika dikumpulkan di padang Mahsyar nanti, sekalian manusia dan jin akan menjadi benar-benar gementar kerana amalan masing-masing akan ditimbang. Di sini tibalah saatnya manusia akan dihisab bagi menentukan nasib masing-masing iaitu sama ada akan dihumbankan ke neraka yang tidak terkira siksanya atau diganjarkan dengan syurga yang nikmat nan indah.

Firman Allah s.w.t bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Hasyr:18).

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda : "Amalan pertama seseorang hamba yang akan dihisab pada hari kiamat adalah solat. Jika baik solatnya maka baik pula seluruh amalannya, namun jika rosak solatnya maka rosak pula seluruh amalannya." (HR. Thbrani).

Di sana kelak Allah akan bertindak selaku hakim yang bakal mengadili penghisaban setiap seorang dari kalangan manusia dan jin. Bagaimanapun peluang untuk tampil ke muka pengadilan dan penghisaban di hari akhirat itu nanti tidak semestinya dilalui oleh semua insan.

Orang-orang yang tidak beriman terutamanya orang-orang kafir, tidak langsung akan berpeluang untuk menatap wajah Allah di akhirat nanti dan tidak akan berpeluang juga untuk dihadapkan bagi dihisab amalan mereka.

Sesungguhnya setiap seorang dari mereka akan ditangkap oleh para malaikat dan dengan garang dan kasar, mereka akan terus dicampakkan atau ditarik masuk ke rahang neraka yang menjulang panas apinya.

Manakala manusia-manusia mukmin dan orang-orang pilihan Allah akan dibawa ke muka pengadilan secara lembut untuk dihisab di hari itu nanti.

Sebelum dipanggil umat lain di depan, Allah akan memerintahkan para Malaikat-Nya mengumpulkan umat junjungan Nabi Muhammad s.a.w. untuk diadili lebih dahulu seorang demi seorang.

Lalu dibuka kitab amalan masing-masing di depan mereka. Tubuh masing-masing akan basah berpeluh, hati akan terkejut melihat lembaran amalan yang telah mereka lakukan sepanjang kehidupan di dunia dulu.

Mereka akan ditanya satu persatu akan amalan mereka, dan pada ketika itu, mulut mereka akan terkunci, tidak dapat menjawab atau menafikan apa-apa dakwaan yang dihadapnya ke atas mereka.

Firman Allah s.w.t. bermaksud : "Pada hari ini kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan". (Surah Yasin:65).

Yang menjadi pembela mereka pada hari itu ialah amalan-amalan suci dan soleh yang terdiri daripada sembahyang, sedekah, jihad, korban dan lain-lain amalan yang telah dilakukan ketika hidup dahulu.

Sementara pancaindera mereka yang terdiri daripada lidah, telinga, mata, hidung, tangan dan kaki akan menjadi saksi yang bakal membenarkan atau menafikan dakwaan-dakwaan tadi.

Sekiranya seseorang insan itu didakwa telah meragut nyawa seorang manusia secara aniaya dan tanpa sebab yang hak ketika di dunia dulu, maka wajib tangannya akan berkata, "bahawa akulah yang telah membunuh nyawa itu."

Sementara matanya pula berkata, "Bahawa aku melihat bagaimana tangan manusia ini telah meragut nyawa berkenaan."

Dan begitulah seterusnya. Bagaimanakah manusia akan boleh lari dari kenyataan bila gambaran yang amat jelas dan terang dihadapkan di depan mereka ketika berada di mahkamah hari akhirat nanti?

Sesungguhnya memang tidak ada siapapun yang mampu berbuat demikian kerana perhitungan Allah tentang penghisaban yang ditetapkannya di hari akhirat nanti bakal berjalan licindan tidak berselindung lagi. Perhisaban manusia di mahkamah Ilahi di hari akhirat akan disaksikan oleh seluruh manusia dan jin serta juga para malaikat dan nabi-nabi. Setelah selesai dibentangkan tentang segala kesalahan dan kerja-kerja jahat mereka serta juga tentang amal-amal baik ketika di dunia dulu, maka manusia dihantar kepada neraca "mizan" untuk ditimbangkan beratnya atau ringannya amalan baik dan jahat tadi.

Sekiranya didapati berat dosa mereka maka sekaligus dia akan berhadapan dengan api neraka yang marak menjulang yang sentiasa menanti penghuni-penghuninya.

Firman Allah s.w.t bermaksud : "Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihatnya, Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah nescaya dia akan melihatnya (balasannya)." (Surah Az-zalzalah:7-8)

Proses pengadilan di mahkamah hari akhirat juga mempunyai peringkat masa tertentu dan ini bergantung kepada tinggi atau rendahnya amalan seseorang. Ada juga yang merasakan pengadilan itu berjalan terlalu lama, memakan tempoh berpuluh-puluh tahun, ada pula yang merasakan seperti setahun atau sebulan atau cuma beberapa minggu sahaja.

Ada pula golongan yang merasakan bahawa perjalanan pengadilan di hari akhirat sebagai terlalu singkat iaitu cuma sehari atau sekejab sahaja. Bagaimanapun setelah pertimbangan dilakukan di mahkamah pada Mahsyar, manusia-manusia tadi dihantarkan pula menyeberangi satu jambatan yang melintasi kawah api neraka untuk sampai ke syurga.

Gementarlah sekali lagi sekalian tubuh bila berhadapan dengan jambatan yang penuh dengan siksaan dan maut ini kerana di jambatan inilah ditentukan sampai tidaknya perjalanan seseorang insan itu ke syurga atau terjunam pula masuk ke dalam neraka.

Orang-orang yang beramal soleh serta telah mendapat pengampunan dari Allah, terutamanya pada Rasul, Nabi-nabi, para wali, pada syuhada, ahli-ahli jihad serta mereka yang tinggi amalan baiknya akan merasakan jambatan yang memisahkan antara padang Mahsyar dengan syurga sebagai terlalu dekat.

Ada yang merasakan jambatan itu seperti hanya satu langkah kecil, ada yang merasakan pula seperti satu lompatan, dan ada pula yang melihat jambatan itu terlalu panjang dan sukar untuk dilintasi kerana bawahnya api neraka sedang marak menjulang dengan bunyinya yang menggegarkan dan menggerunkan.

Mereka yang terlalu tinggi amalannya serta yang mendapat rahmat dan kasihan dari Allah akan melalui jambatan penentuan itu terlalu cepat seperti sesaat atau sepantas kilat yang menyambar. Malah ada yang melintasi jambatan itu bagaikan hembusan angin kencang dan ada pula yang melintasi jambatan melalui kawah neraka itu bagaikan burung yang terbang laju, ada yang melintasinya seperti seeokor kambing yang berlari perlahan-lahan malah ada yang melintasi jambatan itu sehari semalam.

Sebahagian manusia lagi melintasi jambatan itu selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan dan ada yang mengambil masa bertahun-tahun.

Jambatan penentuan memisahkan Padang Mahsyar dengan syurga memang terlalu ngeri teruatamanya bagi meraka yang ringan amal baiknya. Ini kerana ada diantara mereka yang melihatnya seperti terlalu sukar untuk dilalui kerana licin dan berduri dan ada pula yang melihatnya sebagai terlalu tajam dan halus seperti rambut yang dibelah tujuh.

Demikianlah serba sedikit pandangan@gambaran tentang mahkamah padang Mahsyar dan titian yang menentukan cerah gelapnya nasib seseorang manusia di hari akhirat nanti sebagaimana yang diterangkan oleh Allah s.w.t di dalam kitab Al-Quran...

renung2kanlah...

Wallahua'lam.

3 Response to "Kehalusan Titi Siratul Mustaqim Bagai Rambut Di Belah Tujuh"

  1. Unknown says:

    Subhanallah...

    bLog Juga says:

    tuan, saya mohon penjelasan mengenai orang-orang yang setelah dibentangkan kitab amalannya, mereka samada akan masuk neraka atau masuk syurga. Jika mereka ahli syurga, bukankah allah menjamin tiada lagi kesukaran kepadanya. Jika begitu bagaimana boleh terjadi ada beberapa golongan yang melintasi titian itu dengan bersusah payah.

    Untuk ahli neraka pula, bukankah untuk mereka tuhan sediakan jalan terus ke neraka, jika begitu perlukah mereka melalui titian ke syurga.

    semoga persoalan begini dapat penjelasan dari tuan.

    bLog Juga says:

    tuan, saya mohon penjelasan mengenai orang-orang yang setelah dibentangkan kitab amalannya, mereka samada akan masuk neraka atau masuk syurga. Jika mereka ahli syurga, bukankah allah menjamin tiada lagi kesukaran kepadanya. Jika begitu bagaimana boleh terjadi ada beberapa golongan yang melintasi titian itu dengan bersusah payah.

    Untuk ahli neraka pula, bukankah untuk mereka tuhan sediakan jalan terus ke neraka, jika begitu perlukah mereka melalui titian ke syurga.

    semoga persoalan begini dapat penjelasan dari tuan.

Catat Ulasan