ORANG SOLEH DENGAN PENCURI

Assalamualaikum w.b.t

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim menceritakan, pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang terkenal dengan kerja-kerja sehariannya hanyalah mencuri. Hampir setiap malam dia mencuri harta benda kepunyaan jiran tetangganya. Jirannya sentiasa menasihati beliau agar meninggalkan pekerjaan yang keji itu.

Pada satu malam, ketika dia hendak pergi mencuri tiba-tiba dia bertemu dengan seorang miskin yang sentiasa duduk di dalam masjid. Dia tidak mengetahui bahawa orang yang bercakap dengan dia itu adalah orang miskin yang sangat soleh dan zuhud terhadap dunia. Maka tanpa segan silu pencuri itu mengajak lelaki miskin itu pergi mencuri bersama-sama dengannya.

" Hai orang miskin," kata pencuri itu.

" Mengapa engkau selalu duduk di dalam masjid sambil menanti belas kasihan orang lain. Marilah ikut aku nescaya engkau memperoleh pekerjaan yang menguntungkan. Kalau engkau bersetuju marilah kita pergi mencuri bersama-sama." ajak pencuri itu.

"Baiklah," jawab orang miskin itu ringkas.

"kalau begitu marilah kita pergi sekarang kerana hari sudah gelap," ajak pencuri itu.

"Lebih baik kita atur rancangan dulu," kata pencuri itu lagi.

"Saya masuk ke dalam kedai manakala engkau tunggu sahaja di luar. Kalau engkau nampak orang datang segeralah beritahu aku, ingat, jangan sampai kita tertangkap."

Setelah mereka merancang dengan teliti maka pencuri itu pun memulakan tugasnya mengikut apa yang telah dirancangkan. Pencuri itu masuk ke kedai manakala yang orang miskin yang soleh itu menanti di luar.

Setelah agak lama pencuri itu berada di dalam, tiba-tiba orang miskin yang soleh itu berteriak, "Hai kawan, cepat keluar, ada orang datang ke mari,"

Mendengar teriakan orang miskin itu, pencuri itu kelam kabut lari keluar untuk menyelamatkan diri bersama dengan kawannya itu. Setelah keadaan agak tenteram, dia pun berkata kepada kawannya itu.

"Tadi engkau kata ada orang datang, tapi mana orang itu?"

Maka, orang miskin itu menjawab dengan lemah lembut, "Benar kata engkau hai kawan, tidakkah engkau sedar bahawa ada Zat Yang Maha Melihat yang sentiasa melihat kita,"

"Walaupun kita tidak melihat-Nya, tetapi Dia sentiasa melihat kita. Dia itu Allah Yang Maha Pemurah yang telah menyediakan rezeki untuk semua hamba-Nya."

Orang miskin itu terus berkata, "Hai kawan, engkau telah mengajak aku mencari kekayaan dengan cara mencuri. Sekarang bolehkah engkau buktikan kepada aku, manakah pencuri yang telah menjadi kaya di dunia ini?"

Pencuri itu termenung mendengar kata-kata orang miskin itu lantas dia pun menyatakan keinsafannya serta berjanji tidak akan mengulangi pekerjaan yang terkutuk itu lagi.

Wallahua'lam...

0 Response to "ORANG SOLEH DENGAN PENCURI"

Catat Ulasan