MUSLIM BERIMAN

Assalamualaikum w.b.t

AJARAN Islam menganjurkan hidup berkasih sayang dalam iman dan taqwa. Kita perlu menyedari bahawa kehidupan dunia ini hanya sementara. Oleh itu, perlu mempersiapkan bekalan untuk perjalanan hidup yang lebih panjang dan abadi, iaitu kehidupan akhirat. Kita hendaklah selalu berbuat baik, memainkan peranan sebagai hamba Allah dengan mempraktikkan nilai-nilai rohaniah dan lahiriah. Orang yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah tidak mengharapkan balasan ataupun upah melainkan daripada Allah Taa'la sahaja.

Allah berfirman yang bermaksud :
"Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upah pun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan. Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan kami tambahkan bagi kebaikan pada kebaikan itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mensyukuri.
(Surah Asy-Syuura:23).

Ayat di atas satu penegasan bahawa orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, akan sentiasa berusaha mencipta suasana sihat dalam kehidupan masyarakatnya berdasarkan kasih sayang dalam persaudaraan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa apabila seluruh jiwa masyarakat telah dihiasi oleh persaudaraan yang penuh kasih sayang, akan wujudlah keadaan masyarakat yang aman, damai, bahagia zahir dan batin. Semuanya dapat dicapai apabila iman dipelihara selain meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Taa'la.

Umpanya, apabila kita merasai penderitaan orang lain, hal ini akan mendorong kita untuk turut serta menghilangkan penderitaannya, bak kata pepatah melayu:cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Dalam keadaan demikian, hati kita tidak berasa tenang sebelum penderitaannya hilang. Tetapi hati kita akan berasa tenang dan tenteram setelah kita berhasil menghilangkan penderitaannya dan melihat dia kembali dalam keadaan sihat sejahtera.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Sesorang muslim itu menjadi saudara muslim lainnya. Kerana itu, tidak diperbolehkan seseorang Muslim menganiayai saudaranya, juga tidak boleh seorang Muslim itu menghina saudara Muslimnya. Dan sesiapa memberikan pertolongan (memenuhi hajat keperluan saudaranya), maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya. Dan sesiapa yang memberikan kemudahan, memberikan kelapangan bagi kesusahan seseorang Muslim, nescaya Allah melapang kesusahannya di akhirat. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini dinyatakan bahawa orang Islam dipandang sebagai saudara dan persaudaraan itu menghendaki setiap orang Islam tidak boleh bersikap membiarkan saudaranya dalam kebinasaan. Contoh lainnya, apabila seseorang menderita kelaparan wajiblah kita menolongnya melepaskan dirinya daripada penderitaan itu. Antara tanda hubungan ukhuwah Islamiah ialah perasaan senang memberi manfaat kepada saudara kita dan berasa senang serta gembira melihat mereka mendapat nikmat dan kebaikan, bagai kita sendiri yang memperolehnya. Apabila perasaan ini telah tertanam dalam hati kita dengan suburnya, bererti kita telah berhasil mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah yang besar pahalanya.

Wallahua'lam...