KEJADIAN ALAM SEMESTA



Bagaimanakah alam semester ini terjadi? Persoalan ini sentiasa dibincangkan dari masa ke masa,sama ada dalam bentuk pemikiran falsafah atau dalam kajian sains moden. Melalui pengalaman empirical, manusia dalam beberapa peringkat tamadun telah mengemukakan banyak pendapat dan teori kejadian alam semesta. Ahli falsafah Yunani bernama Anaximander (610-547M), berpendapat bahawa alam ini berasal dari dua unsur yang panas dan dingin. Lapisan yang panas memendap lapisan yang dingin, menyebabkan air terbentuk dalam bentuk wap. Apabila unsur dingin beransur-ansur kering, mewujudkan satu benda bersifat beku. Unsur beku tersebut kemudiannya pecah dan berputaran menjadi matahari, bulan, planet-planet dan bintang-bintang. Bumi adalah serpihan yang masih diselaputi wap dingin dan basah. Oleh kerana selepas berlaku pecahan, serpihan ini berputar, maka bahagian yang basah ada menjadi kering lalu membentuk tanah manakala sisa yang kekal basah menjadi laut. Menurutnya lagi, bentuk alam ini bulat seperti bola, dan bumi terkandung di tengah-tengahnya.

Manakala Anaximenes (585-528 SM), pula mengatakan bahawa alam semesta berasal dari udara yang berkumpul, lalu padat menjadi awan. Awan yang cair menjadi hujan, manakala awan yang beku pula menjadi tanah dan batu, iaitu bumi. Menurutnya lagi, matahari, bulan, dan bintang wujud dari wap bumi. Manakala wap yang keluar dalam bentuk api telah membentuk matahari. Bumi berbentuk datar seperti meja dan ia ditampung oleh udara.

Dalam kajian kosmologi moden pula terdapat beberapa teori tentang kejadian alam semesta, tetapi teori letupan besar dan teori keadaan mantap adalah dua teori yang popular di kalangan ahli astronomi. Teori letupan besar dikemukakan seorang ahli astronomi Belgium bernama Geoge Lemaitre pada tahun 1927. Menurutnya alam semesta ini sedang bergerak menjauhi antara satu sama lain disebabkan letupan besar yang telah berlaku pada satu jisim mampat, kira-kira 15 ribu juta tahun dahulu. Berdasarkan teori ini, serpihan jisim selepas letupan besar yang berlaku telah mewujudkan galaksi, planet, debu-debu angkasa dan segala khazanah alam setelah mengalami pelbagai proses. Kesemua jisim tersebut masih lagi bergerak ke seluruh pelusuk alam hasil tenaga dari letupan tersebut. Pendapat ini disokong teori pencerapan, melalui analisis gelombang radio yang dinamakan kesan Doppler (Doppler effect). Menurut Schatzman (1989), apabila sesuatu galaksi bergerak mendekati galaksi Bima sakti, kekuatan gelombangnya lebih besar berbanding dengan galaksi yang bergerak menjauhinya. Dengan menggunakan analisis spectrum, anjakan merah menunjukkan pergerakan menjauh, manakala anjakan biru menunjukkan pergerakan endekat.

Satu lagi teori yang dikemukakan oleh Hermann Bondi di sekitar tahun 1950-an, beranggapan bahawa alam yang ada sekarang sedia ada selama-lamanya dan proses kejadian alam semesta masih berterusan berlaku secara kembang susut sehinggalah ala mini menjadi tua dan pengembangnya menjadi terbatas. Walau bagaimanapun menurut Hartmann (1987), disebabkan beberapa ciri teori tersebut bertentangan dengan hasil pencerapan, maka teori itu ditolak atau cuba diperbaiki.

Kesemua pendapat-pendapat di atas, beranggapan bahawa alam ini bermula dari satu jisim. Bagaimanapun, tidak pula dijelaskan bagaimana jisim tersebut terbentuk, walaupun jika dikatakan unsur-unsur proton atau electron. Menurut kepercayaan tauhid, sesuatu selain dari Allah s.w.t mesti ada awalnya. Oleh itu, menurut kosmologi islam islam, walau apa pun teori tentangnya, hendaklah diyakini bahawa alam ini bersifat “baru”, iaitu yang dijadikan. Kesemua pendapat di atas memulakan pendapatnya dengan andaian bahawa ala mini sesuatu yang sudah ada. Persoalan untuk mengetahui asal kejadian alam tidak akan dapat diselesaikan tanpa kita berpegang kepada sunnatullah.

Bertepatan dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“ Pada dialah (Allah) asal mula langit dan bumi, dia berkehendakkan sesuatu, maka cukuplah dia mengatakan kepadanya, ‘jadilah, lalu jadilah ia…”
(surah al-baqarah:117)

Menurut ilmu kosmologi islam, alam semesta berasal dari asap (dukhan). Ini dijelaskan oleh firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“ Kemudian dia (Allah) menuju kepada penciptaan langit, dan langit ketika itu masih merupakan asap..” (surah al-fussilat:11)

Ayat di atas menjelaskan bahawa asap atau apa-apa yang menyerupai seperti gas-gas telah dijadikan terlebih dahulu sebagai musabab penciptaan langit dan bumi. Penjelasan proses seterusnya sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan apakah orang-orang kafir itu tidak mengetahui bahawa langit dan bumi itu pada mulanya bersatu, kamudian kami (Allah) pisahkan antara kedua-duanya. Dan dari air kami jadikan sesuatu yang hidup mengapakah mereka tidak mahu beriman..” (surah al-anbiya:30)

Demikianlah sedikit sebanyak gambaran@ilmu mengenai ilmu falak yang pernah saya pelajari ketika dahulu. Semoga kita dapat mengambil pengajaran di sini. Wallahua’lam.

0 Response to "KEJADIAN ALAM SEMESTA"

Catat Ulasan